Wednesday, February 18, 2015

Perjumpaan dengan Ketua Penerangan UMNO Malaysia

  Perjumpaan antara YB Datuk Haji Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia dengan YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar, Ketua Penerangan UMNO Terengganu dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian-Bahagian pada hari Rabu 18 Feb 2015 di Hotel FELDA.














Sunday, February 15, 2015

Perjumpaan dengan Mahasiswa UM

Pada 15 Feb 2015 , YB Mohd Iskandar Jaafar, ADUN Jabi telah mengadakan perjumpaan dengan AJK PERMATA Universiti Malaya. Perjumpaan ini diadakan untuk mengenali lebih dekat dengan pelajar-pelajar disamping untuk menerangkan Konsep Transformasi Terengganu Baharu dan agenda pembangunan Kerajaan Negeri. 
 Beliau juga merupakan bekas pelajar UM berharap perjumpaan ini  bukan berakhir  disini  malah lebih banyak perjumpaan santai akan dibuat dimasa-masa akan datang.




Tuesday, February 10, 2015

Anwar Didapati Bersalah


Semua mata tertumpu kepada Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Seluruh dunia berdebar-debar sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melangkah keluar sebagai manusia bebas atau kembali merengkok dalam penjara.

Keputusan hari ini amat dinanti-nantikan kerana bakal memberi kesan besar kepada perjalanan politik Malaysia.

LANGSUNG

12.10pm: Peguam Sri Ram, yang mewakili Anwar, bangun minta penangguhan selama sejam untuk mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya.

Mahkamah ditangguh sementara menunggu hukuman.

12.07pm: Hakim berkata terdapat bukti kukuh bahawa Saiful diliwat. Rayuan terhadap sabitan itu ditolak.

11.55am: Hakim berkata Anwar tidak mempertikaikan bahawa beliau berada di kondominium tempat kejadian didakwa berlaku dan dia juga tidak mempertikaikan keberadaan Saiful di situ.

Hakim juga berkata "tiada merit" bagi dakwaan terdapat konspirasi politik dalam kes itu.

“Penafian semata-mata daripada Anwar tidak boleh diterima. (Dakwaan) konspirasi politik kekal tidak berasas,” katanya.

11.52am: Hakim sentuh dakwaan bahawa Saiful bertemu Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri, dan pegawai khasnya Khairul Anas.

11.50am: Hakim sentuh tentang saksi pembelaan lain.

Ini termasuk keterangan bekas pembantu Anwar yang lain, Najwan Halimi, yang terkejut mendapati Saiful, seorang penyokong BN, berkhidmat untuk ketua pembangkang.

11.45am: Ketika penghakiman dibacakan, di ruang maya ramai mula berspekulasi bahawa Anwar mungkin bersalah.

“Menuju ke arah pensabitan kes,” tulis ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya di Twitter.

11.43am: Hakim menyentuh soal alibi Anwar.

“Anwar mendakwa sampel itu diganggu dan menyalahkan media kerana membuat kenyataan prejudis.

“Dia juga mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Saiful seorang saksi boleh dipercayai,” katanya.

Hakim ulang dakwaan konspirasi yang dibuat Anwar.

11.40am: Hakim berkata tiada ruang boleh berlaku kesalahan (inferiorly fallible) dalam keterangan ahli kimia.

11.31am: Lebih sejam Hakim Arifin membacakan penghakiman kes liwat Anwar. Seorang anak Anwar kelihatan menitiskan air mata.

11.27am: Anwar memandang kepada isterinya, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. Dua anggota polis berdiri kiri dan kanan kandang tertuduh tempat Anwar duduk.

11.25am: Hakim memutuskan bahawa tiada gangguan pada penjagaan sampel dan berkata pegawai penyiasat Jude Periera berhati-hati mengendalikannya.

Oleh itu beliau memutuskan sampel DNA Anwar tidak tercemar.

11.08am: Hakim memutuskan bahawa barang-barang daripada lokap diperoleh secara sah dan menggelarkannya sebagai “bukti bebas”.

“Kami (panel) berpandangan bahawa tidak perlu menjalankan perbicaraan dalam perbicaraan (berhubung kebolehterimaan bukti daripada sel),” katanya.

11.05am: Bagi bahan bukti yang diperolehi dari lokap, ketua hakim menyimpulkan Anwar memang menggunakan barang-barang tersebut kerana sel itu sebelumnya kosong.

11.03am: Hakim menyentuh pula keterangan ahli kimia Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon serta bagaimana hakim perbicaraan mempunyai cukup bukti yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Katanya, kes prima facie berjaya dibuktikan dan Mahkamah Rayuan bersetuju dengannya.

“Saiful tidak bersekongkol dan tiada cukup bukti saling mengukuhkan untuk menyokong keterangan itu,” katanya.

11am: Hakim berkata dalam Akta Keterangan, pentahkikan tidak diperlukan. (Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa keterangan ahli kimia tidak mentahkikkan keterangan Saiful). Hakim berkata keterangan pengadu boleh dipercayai tanpa pentahkikan.

10.50am: Hakim Arifin membangkitkan keterangan mengenai pakaian berjenama Brioni. Bagi permaidani yang dirampas, beliau berkata ia bukanlah bukti yang sangat penting.

10.46am: Berkaitan keterangan terperinci Saiful, hakim berkata pengadu berpegang teguh kepada keterangannya walaupun selepas disoal balas mendalam. Ekoran itu, kata hakim, Mahkamah Rayuan memutuskan keterangannya diterima.

10.45am: Hakim membacakan pembelaan Anwar yang mempersoal tindakan Saiful membawa pelincir KY Jelly dan dakwaan doktor Pusrawi bahawa objek plastik menembusi duburnya.

Hakim berkata Saiful mendakwa berlaku hubungan seks dan pasukan pembelaan membangkitkan kenapa dia tidak lari.

10.43am: Hakim kini memberikan tumpuan pada isu kewibawaan keterangan Saiful.

10.42am: Hakim berkata pakar-pakar, yang memberi keterangan bagi pembelaan, sampel itu masih tidak tercemar, maka Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhujah bahawa wujud keraguan munasabah pada sampel tersebut.

10.39am: Hakim kini membacakan keterangan saksi pembelaan Prof David Wells dan Prof Brian Mcdonalds. Hakim berkata pakar bedah tulang belakang Dr Thomas Hoogland berpendapat bahawa Anwar tidak dapat melakukan aksi seks sebegitu kerana masalah belakang.

10.37am: Hakim berkata bahawa Anwar memberikan kenyataan daripada kandang tertuduh yang mendakwa terdapat konspirasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mempersoal tindakan Saiful.

10.33am: Hakim berkata Anwar ditahan dan dibekalkan dengan tuala, berus gigi dan sebotol air mineral.

Barang itu diambil oleh polis pada hari berikutnya dan sampel daripadanya diserah kepada ibu pejabat polis Kuala Lumpur.

10.27am: Selepas membacakan bagaimana Saiful dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur, di mana sampel diambil.

Hakim Arifin berkata ahli kimia menemui sel sperma daripada calitan dubur bahagian tinggi dan rendah.

Beliau juga berkata dapatan awal bahawa tiada tanda-tanda tembusan.

10.24am: Keadaan di luar Istana Kehakiman ketika ini terkawal. Penyokong Anwar rata-rata duduk di kaki lima dan turut mendengar ceramah yang disampaikan oleh beberapa pemimpin PKR.

Pentas ceramah itu dibuat di atas kereta pacuan 4 roda Hilux yang dibawa ke perkarangan mahkamah.

Selain itu, penyokong juga diberi makanan percuma seperti buah oren dan karipap serta air minuman.

Terdapat juga peniaga yang tidak melepaskan peluang menjual baju T kepada orang ramai.

Sementara itu, seorang orang kelainan upaya (OKU) Md Arof Majid, yang hadir ditemani isterinya berkata, beliau berharap supaya Anwar dibebaskan.

"Saya harap Anwar dibebaskan. Kerana dia membantu rakyat," katanya.

10.20am: Hakim Arifin menceritakan kembali bagaimana Saiful tiba di kondominium, cara pelincir digunakan dan duburnya ditembusi.

Hakim berkata Saiful meletakkan jawatan selepas itu dan ditemani bapa saudaranya ke Hospital Pusrawi.

10.17am: Hakim Ariffin berkata, persetujuan tidak semestinya perlu untuk mensabitkan kesalahan.

Ariffin berkata Saiful berkhidmat sebagai sukarelawan dan pembantu peribadi kepada Anwar.

Saiful juga membantu Ibrahim Yaacob, ketua kakitangan pejabat Anwar, untuk menyusun jadual Anwar.

10.12am: Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria mula membacakan penghakimannya.

10.08am: Mahkamah mula bersidang seperti diumumkan pendaftar.

9.56am: Seorang penyokong Saiful, yang mahu dikenali sebagai Syafiq pula berkata, kehadirannya pada hari ini sekadar "ikut orang".

Selain itu, Syafiq juga berkata, dia juga tidak tahu tujuannya hadir ke Istana Kehakiman pada hari ini.

Katanya lagi, dia bersama rakan-rakannya yang lain datang dari Puchong dengan menaiki motosikal.

"Saya ikut orang saja. Tak tahu sebab apa. Kami naik motor ramai-ramai," katanya.

Ketika ditanya sama ada dibayar, dia hanya ketawa dan berkata: "Adalah sikit. Duit minyak."

9.33am: Sekumpulan 200 penyokong Saiful turut kelihatan berkumpul.

Mereka memakai baju bertulis "Liwat tetap liwat".

Mereka berkumpul berdekatan Wisma Tani, kira-kira 150 meter daripada penyokong Anwar yang berkumpul di bangunan Auditorium Perbadanan Putrajaya.

Mereka juga melaungkan ungkapan "tangkap Anwar” dan :hukum peliwat".

Ketua penyelaras penyokong Saiful, Suhaimi Adnan atau dikenali sebagai Suhaimi Taliban, berkata lambat berkumpul kerana melakukanya dengan sukarela dan bukan dibayar.

"Mereka (penyokong Anwar) muncul awal pagi 7.00 pagi sebab mereka dibayar, makan gaji, datang dengan bas dan kena duduk sana.

"Kita sukarelawan, tak dibayar!" katanya.

9.15am: Sekumpulan penyokong Anwar selesai mengadakan solat hajat dan berdoa di luar mahkamah.

Kini kira-kira 1,000 penyokong kini berkumpul sekitar kawasan itu.

9.02am: Anwar sudah tiba di mahkamah.

8.57am: Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Shafee Abdullah masuk ke mahkamah dengan pasukannya.

8.40am: Peguam utama Anwar yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram kini berada di dalam mahkamah. Beliau tampil bertongkat.

Gopal ditemani peguam Sangeet Kaur dan Eric Paulsen.

Pasukan pendakwaan termasuk timbalan pendakwaraya (DPP) Mohd Hanafiah Zakaria, yang juga timbalan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara juga sudah masuk ke mahkamah.

Begitu juga peguam Saiful, Zamri Idrus.

Timbalan pengarah bahagian Asia Human Rights Watch Phil Robertson juga kelihatan.

8.30am: Seorang penyokong Anwar jatuh kerana sawan.

Kawan-kawannya tampil menolong dengan mengipas dan menteramkannya.

"Tenang, kami tunggu kamu,” kata salah seorang daripada mereka.

Lelaki itu kembali OK selepas 15 minit.

8.20am: Pemberita, pemerhati, anggota parlimen dan sebahagian orang awam dibenarkan memasuki mahkamah.

Pemberita duduk di sebelah kiri mahkamah manakala pihak lain di kawasan tengah dan kanan mahkamah.

Anggota keluarga Anwar belum kelihatan dalam mahkamah.

8.15am: kira-kira 200 penyokong Anwar berarak ke Istana Kehakiman sambil melaungkan "reformasi" , "lawan tetap lawan" dan "bebas Anwar".

Mereka turut membawa sepanduk yang bertulis "rakyat hakim negara".

Selepas itu, Dr Badrul Amin kini berselawat dan penyokong yang beragama Islam sedang bersiap sedia untuk solat hajat.

Setakat ini, kira-kira seribu penyokong Anwar kini telah berkumpul di perkarangan Mahkamah Persekutuan.

7.55am: kira-kira 200 orang penyokong Anwar berkumpul di depan Masjid Besi berhampiran Istana Kehakiman untuk memberi sokongan.

Mereka melaungkan "lawan tetap lawan” dan “hidup Anwar".

Naib presiden PKR Tian Chua memberi ucapan kepada penyokong.

"Kita berkumpul di sini bukan saja untuk Anwar tetapi untuk menyaksikan sama ada hari ini sistem kehakiman bebas atau tidak," katanya.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut berucap.

Penyokong Anwar kemudian berarak ke Istana Kehakiman dengan laungan "Reformasi".

7.50am: Ramai anggota parlimen Pakatan sudah tiba, termasuk Rafizi Ramli (Pandan), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Pasukan peguam dilihat memasuki mahkamah melalui pintu depan dan helikopter polis juga sedang berlegar-legar di angkasa memantau perkembangan.

7.20am : Sebanyak 30 pas masuk dikatakan disediakan kepada anggota keluarga Anwar, 38 pas untuk media dan 20 pemerhati antarabangsa dan 10 lagi untuk pemerhati tempatan.

Kawalan keselamatan di mahkamah ketat.

6.10am: Kira-kira 20 bas penyokong Anwar berkumpul di Masjid Sultan Zainal Abidin untuk memulakan solat Subuh.

Petikan : http://live.malaysiakini.com/bm/