Wednesday, August 20, 2014

Ucaptama Transformasi Terengganu Baharu oleh Menteri Besar Terengganu



Bismillahirrahmaanirrahim, 

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu’.

(Surah Ali ‘Imraan, ayat 26)

Assalamualaikum WBKT dan Selamat Pagi,

YB Dato’ Haji Mohd Zubir bin Embong, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu,

YB Dato’ Haji Mazlan bin Ngah, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu,

YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Ahli-Ahli YB,

Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Pemimpin-Pemimpin Masyarakat, Badan-Badan Bukan Kerajaan dan Syarikat-Syarikat Swasta, Para Pensyarah dan Guru, Para Pemimpin Belia dan Mahasiswa, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

Alhamdulillah saya ucap setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi peluang untuk menyampaikan Ucap Utama dan seterusnya merasmikan Seminar Transformasi Terengganu Baharu pada pagi ini.

Di dalam kitabnya Al Muwatha’, Imam Malik mencatatkan perihal nasihat dan wasiat Luqmanul Hakim. Apabila Luqmanul Hakim ditanya, amal apakah yang beliau lakukan sehingga sampai ke darjat setinggi ini, padahal beliau dilihat seolah-olah tidak mempunyai keutamaan? Maka jawab Luqmanul Hakim,

“Berkata benar, Menyampaikan Amanah dan Meninggalkan sesuatu yang tidak ada manfaatnya bagiku”

Nasihat dan wasiat Luqmanul Hakim ini adalah satu peringatan kepada kita semua, khasnya kepada saya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. Ianya peringatan supaya kita sentiasa berkata benar, menyampaikan amanah dan meninggalkan perkara –perkara yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat dan Negeri Terengganu.

Setiap tingkah laku yang dizahirkan, mahupun tutur kata yang diucapkan, mestilah dibuat demi kebaikan semua lapisan rakyat, tanpa mengira perbezaan fahaman politik, bangsa, mahupun agama.

Dalam usaha menunaikan amanah ini, saya dan rakan-rakan barisan EXCO dan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam kerajaan, akan sentiasa berfikiran positif, bersikap optimis, sentiasa melihat apa yang baik dari manusia, bukannya mencari-cari apa yang salah untuk dikata, sentiasa melihat dan bergerak ke hadapan, melestarikan budi, memacu transformasi.

Amanah ini saya tidak mampu pikul berseorangan. Saya perlu sokongan dan bantuan dari rakan-rakan saya dalam kerajaan, dari Ahli-Ahli Yang Berhormat, baik dari parti yang memerintah mahupun parti pembangkang, dari para pegawai dan kakitangan kerajaan, tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Oleh itu saya ingin menyeru, dengan rasa rendah diri, dengan berkat doa, sokongan dan bantuan dari seluruh rakyat Negeri Terengganu, marilah sama-sama kita bangunkan Negeri Terengganu Darul Iman, bumi ilmu, inovasi dan warisan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian,

Sebagai Menteri Besar yang baru, terlalu banyak perkara yang harus saya beri perhatian. Pengambilalihan tampuk pentadbiran pada 12 Mei yang lepas, bukanlah berlaku selepas satu pilihanraya umum. Ianya ada cabaran dan keunikan yang tersendiri.

Peralihan kepimpinan berjalan dengan tertib dan teratur. Ini pada saya, sangat penting. Apabila sesuatu kerja itu bermula dengan baik, kita berharap perjalanan seterusnya baik dan natijahnya nanti juga baik. Untuk itu, saya ucap terima kasih kepada mantan Menteri Besar yang telah memberi kerjasama yang baik dalam memastikan peralihan kepimpinan berjalan dengan baik.

Tiada rombakan EXCO yang berlaku kerana saya mahukan kestabilan dan kesinambungan. Saya juga ingin memandang dan bergerak ke hadapan. Inilah yang terbaik untuk rakyat.

Sekiranya ada usaha dan inisiatif terdahulu yang baik, ianya akan kita teruskan. Mana-mana yang perlu penambahbaikan, ianya akan kita teliti semula dan buat kajian. Ini bagi memastikan impak dan manfaat sebarang program benar-benar dirasai rakyat.

Secara prinsipnya, sebarang keputusan mahupun inisiatif baru kerajaan, bukan sahaja perlukan siri-siri perbincangan, malah kajian dan penyelidikan. Ianya mungkin mengambil masa.

Namun terdapat beberapa inisiatif baru yang telah diperkenalkan dalam waktu 100 hari yang pertama pentadbiran saya sebagai Menteri Besar. Sebahagiannya tersenarai dalam buku sempena 100 hari pentadbiran yang akan diedarkan selepas ini.

100 hari yang pertama sungguhpun ianya signifikan, tidaklah bermakna perlu diisi lengkap dengan puluhan inisiatif baru mahupun perincian kepada setiap inisiatif tersebut.

100 hari yang pertama adalah waktu untuk meletakkan asas pentadbiran bagi tempoh akan datang. Ianya memberi gambaran dan pencerahan awal serta indikator umum, tentang prinsip-prinsip kepimpinan, budaya kerja dan halatuju pembangunan.

Pada pagi ini, saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan sekelian untuk bersama-sama saya menjayakan visi Terengganu yang hebat, Negeri yang makmur dan Rakyat yang progresif.


Visi ini akan didokong melalui 3 misi iaitu:

Pertama – menjadikan pengamalan ajaran dan nilai-nilai Islam sebagai asas falsafah pembangunan dan kepimpinan.

Kedua – memastikan urustadbir yang berhemah serta tegas (good governance)

Dan Ketiga – mengamalkan pendekatan inklusif atau keterangkuman, yang meraikan suara rakyat sebagai input.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Visi Terengganu yang hebat, Negeri yang makmur dan Rakyat yang progresif bermaksud membangunkan segenap potensi dan keupayaan yang ada untuk manfaat rakyat jelata. Potensi di sini bukan sahaja potensi alam semulajadi atau potensi sumber bumi, malah potensi pembangunan kapasiti daya insan (human capital) dan lebih penting, potensi daya pemikiran (mind set).

Membangun potensi juga bermakna meraikan tradisi ilmunya yang hebat, warisan budayanya yang unik, tamadun agamanya yang unggul.

Negeri Terengganu mempunyai 1.05 juta orang penduduk. 54% atau lebih separuh dari penduduk Negeri Terengganu adalah mereka yang berumur 24 tahun ke bawah. Justeru pembangunan di Negeri Terengganu perlu mengambilkira potensi generasi muda dan keperluan generasi masa depan, bukannya keperluan sezaman.

Sejarah Darul Iman harus kita jadikan teladan dan sumber inspirasi. Sejarah zaman lampau memberi kita kefahaman tentang zaman sekarang untuk dijadikan inspirasi dalam mencorak zaman akan datang.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Dalam mencapai visi Terengganu yang hebat, Negeri yang makmur dan Rakyat yang progresif, saya berpendapat bahawa kita tidak boleh bergerak sepertimana biasa atau “business as usual”. Di samping itu, kita juga harus memikirkan cara untuk menjamin kemakmuran agar ianya berpanjangan dan mapan (sustainable).

Kita tidak boleh bergerak sepertimana biasa. Kita perlu lakukan perubahan atau satu transformasi. Sekiranya kita tidak lakukan perubahan atau transformasi, saya khuatir kita tidak akan ke mana-mana, malah terus tenggelam dengan sindrom “ketulaan”.

Apa yang lebih menyedihkan nanti ialah kita tidak akan dapat menyerlahkan potensi kehebatan kita sedangkan kita tahu kita ada banyak potensi untuk mencipta kehebatan. Pada ketika itu, kita semua tidak mampu mengucap bangga “Saya Sayang Terengganu”. Sebaliknya kita akan mengeluh kecewa, “Sayang Terengganu”.

Atas semangat sentiasa bergerak kehadapan, saya telah memperkenalkan konsep Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

TTB juga bermaksud Terengganu TerBersih dan Telus, Team, Berkhidmat.

Transformasi Terengganu Baharu mencakupi tiga bidang iaitu:

Pertama – Transformasi Ekonomi,

Kedua – Transformasi Kerajaan dan

Ketiga – Transformasi Politik.

Transformasi Ekonomi akan memberi tumpuan kepada usaha menangani isu sosioekonomi secara berterusan, meningkatkan pendapatan isi rumah, bukan semata-mata pendapatan per kapita, serta memperkasa kelompok masyarakat berpendapatan sederhana. Hal ini diterjemahkan melalui usaha pengwujudan peluang-peluang pekerjaan, pembinaan rumah-rumah mampu milik, program-program galakan keusahawanan terutamanya usahawan mikro dan usahawan graduan.

Transformasi ekonomi juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, khususnya peningkatan kegiatan ekonomi dan penambahbaikan pembangunan kawasan di bandar. Tapi ini tidaklah bermaksud masyarakat luar bandar akan dipinggirkan.

Agenda memperkasa bandar ini akan mendatangkan kesan limpahan ekonomi, merancakkan lagi kegiatan perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan seluruh negeri untuk dinikmati manfaatnya oleh seluruh rakyat jelata.

Misalnya, bagi merancakkan lagi pembangunan di Bandaraya Kuala Terengganu, Kerajaan Negeri sedang meneruskan perancangan untuk memajukan Kawasan Muara Utara Sungai Terengganu pula setelah perancangan di Muara Selatan Sungai Terengganu hampir lengkap.

Pembinaan jambatan baru yang akan menghubungkan Muara Utara dan Muara Selatan dijadualkan bermula pada bulan September tahun ini dijangka akan mengubah lanskap Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) pula akan dibuka sepenuhnya pada Disember 2014. Saya percaya, pembukaan LPT2 akan menjadi pemacu transformasi ekonomi Wilayah Pantai Timur khasnya Negeri Terengganu.


Peranan GLC Negeri (SGLC) juga perlu menjalani proses transformasi.

SGLC adalah entiti perniagaan dan tugas utama mereka ialah membuat keuntungan. Melalui keuntungan itulah kita boleh laksanakan lebih banyak program sosioekonomi dan CSR serta membayar zakat untuk kemajuan ummah.

SGLC sepatutnya membantu merancakkan aktiviti ekonomi negeri melalui pengwujudan peluang-peluang pekerjaan dan membimbing lebih ramai usahawan tempatan. Terlalu awal untuk kita buat sebarang andaian kenapa sesetengah SGLC rugi secara berterusan sehingga tidak lagi menjadi aset malah satu liabiliti pula.

Kita sedang membuat kajian akaun forensik bagi melihat kedudukan semasa SGLC terpilih dan menilai potensi perniagaan mereka di masa hadapan. Selepas kajian lengkap, barulah kita akan buat keputusan atau ambil tindakan sewajarnya.

Mereka yang dilantik sebagai Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dalam SGLC juga harus merubah “mindset” dengan betul-betul menjalankan tugas demi memelihara kepentingan rakyat dan Kerajaan Negeri. Setiap dari kita yang diberi amanah dalam mana-mana Lembaga Pengarah syarikat harus tahu isu-isu syarikat dan agenda korporat supaya mampu memberi buah fikiran yang relevan.

Saya juga suka tekankan keperluan untuk memelihara tahap urustadbir korporat (good corporate governance) yang tertinggi dan terbaik setiap masa. Bukan sahaja natijah atau hasil perniagaan itu penting, bagaimana natijah atau hasil itu tercapai juga penting.

Kedua – Transformasi Kerajaan

Transformasi Kerajaan menekankan soal keberkesanan sistem penyampaian. Sebenarnya tahap sistem penyampaian kerajaan sudah banyak berubah kepada yang lebih baik berbanding dulu.

Namun kita harus meletak sasaran yang lebih tinggi atas semangat “kaizen” atau “continuous improvement”.

Keupayaan jentera kerajaan dalam melaksana, dan yang lebih penting menterjemah visi dan misi kepimpinan sangatlah kritikal. Para pegawai kerajaan bukanlah pentadbir, sebaliknya mereka adalah pengurus.

Di sebalik kesetiaan dan rasa hormat mereka kepada hirarki kepimpinan dalam pentadbiran, mereka juga punya daya intelek dan kreativiti untuk menyelesaikan masalah, berani mencuba perkara baru dan datang bukan sahaja dengan masalah tetapi beberapa pilihan untuk menyelesaikan masalah.

Anugerah kecemerlangan dan ganjaran harus diutamakan kepada mereka yang ada keupayaan luar biasa, tidak semestinya kepada mereka yang sudah berkhidmat lama.

Transformasi Kerajaan juga menekankan soal wajah insan (human face). Hubungan kita dengan rakyat yang menjadi pelanggan, tidak seharusnya bersifat kaku. Kita perlu lebih empati, lebih banyak mendengar dan komunikasi dijalankan bersifat dua hala.

Transformasi Kerajaan juga menyentuh soal peranan dan keberkesanan JKKK.

JKKK penting kerana mereka berada di barisan paling hadapan dalam hubungan rakyat dengan kerajaan. Mereka juga membawa imej kerajaan serta menjadi mata dan telinga kerajaan. Justeru kemampuan JKKK untuk membantu menyampaikan mesej-mesej kerajaan serta membantu melicinkan proses pentadbiran haruslah dipertingkatkan.

Soal integriti adalah keutamaan dalam Transformasi Kerajaan. Malah soal integriti merentas ketiga-tiga elemen Transformasi iaitu Ekonomi, Kerajaan dan Politik.

Dalam isu integriti, saya ingin mengisytiharkan perang terhadap rasuah dan ketirisan. Tidak ada kompromi dalam soal rasuah dan ketirisan. Tindakan yang sewajarnya akan diambil sekiranya terbukti berlaku sebarang penyelewengan.

Sebagai permulaan, saya ingin mencadangkan supaya kita semua termasuk para pegawai Kerajaan membuat pengisytiharan harta. Proses ini akan diperluaskan dengan melibatkan ketua-ketua di agensi dan SGLC.

Hubungan yang baik dan erat di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat turut membawa manfaat yang besar kepada rakyat jelata. Sebagai sebahagian dari proses Transformasi Kerajaan, hubungan baik ini perlu dan akan dipereratkan melalui sesi keterlibatan dan pertemuan (engagement) secara terancang, sistematik dan berkala. Untuk itu, satu Pelan Induk Keterlibatan dengan Pihak-Pihak Berkepentingan atau Stakeholder Engagement Plan akan dibentuk.


Hadirin yang dihormati sekelian,

Transformasi juga perlu berlaku dalam bidang politik. Zaman Politik Pembangunan (Politics of Development) sudah lama berlalu. Sekarang ialah zaman Politik Keterlibatan (Politics of Engagement). Kita perlu banyak mendengar dan melibatkan masyarakat dalam proses membuat keputusan.

Di zaman ini, gerakan massa semakin dipelopori oleh Badan-Badan Bukan Kerajaan atau NGO driven. Di seluruh dunia, pengaruh kerajaan dalam menentukan pendapat umum sudah didahului oleh NGO-NGO. Hal ini dibantu oleh jaringan media sosial yang membolehkan berita segenap dimensi dilaporkan secara langsung (real time). Menyedari pentingnya peranan NGO mutakhir, usaha untuk melibatkan NGO-NGO di peringkat negeri dalam perancangan pembangunan perlu dipertingkatkan.

Hubungan di antara kerajaan dan pembangkang juga perlu dilonjak ke satu tahap di mana ianya lebih menguntungkan rakyat. Perbezaan fahaman politik tidak sepatutnya menyebabkan kita bermusuhan sehingga ke Hari Kiamat. Pengalaman mengajar kita bahawa dalam politik, tiada musuh yang kekal mahupun kawan yang kekal. Justeru, di mana ada ruang untuk kita bekerjasama demi kebaikan rakyat, kita akan bekerjasama.

Saya sendiri telah memulakan langkah pertama dengan menziarahi pemimpin pembangkang dan keluarga mereka ketika waktu ada yang uzur, ketika berlaku kematian dan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Saya percaya salam yang dihulur telah disambut dengan jujur.

Saya juga ingin berpesan kepada diri saya sendiri khasnya, supaya jangan kita terlalu banyak berpolitik, berebut-rebut jawatan dan kuasa pemerintahan. Kita boleh bertanding dalam pilihanraya, baik pilihanraya umum mahupun pemilihan di peringkat parti atau organisasi. Kita boleh berusaha ke arah kemenangan. Ianya sebahagian dari proses demokrasi. Tiada masalah.

Tapi sebagaimana kita redha bila menang, kita juga harus pasrah bila kalah.

Apabila kita terlalu banyak berpolitik, baik politik dalaman sesama parti, atau politik antara parti, malah politik dalam organisasi termasuk politik pejabat (office politics), yang menanggung ruginya ialah rakyat.

Gajah sama gajah bergaduh, pelanduk yang mati di tengah-tengah.

Justeru atas rasa cinta, kasih dan sayang kita kepada Negeri Terengganu, saya mahu mengajak kita semua agar sama-sama melakukan yang terbaik untuk Negeri Terengganu. Apabila tiba waktunya, kita berserah kepada Allah SWT untuk menentukan siapa dapat jawatan apa, atau siapa yang diberi kuasa pemerintahan oleh Allah SWT, sepertimana maksud Ayat 26, Surah Aali Imraan yang saya bacakan di awal ucapan saya tadi. Allah lebih mengetahui segala sesuatu.

Insya Allah, kalau kita faham perkara ini, hati-hati kita akan menjadi tenang tenteram.

Saya telah berkongsi pemikiran saya tentang Transformasi Terengganu Baharu dengan memberi huraian mengenai tiga bidang transformasi. Saya mengalu-alukan usaha pencernaan, cadangan dan idea pengisian ke atas ketiga-tiga bidang transformasi iaitu Transformasi Ekonomi, Transformasi Kerajaan dan Transformasi Politik. Kita harus sentiasa memandang dan bergerak ke hadapan.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Budaya adalah cerminan bangsa. Bangsa menjadi hebat kerana budaya yang diamalkannya hebat. Pincang budaya, maka tempanglah bangsa.

Dalam bukunya ”Why Japan is No.1”, Ezra F. Vogel merumuskan kehebatan Negara Jepun yang mencapai taraf dunia, adalah disebabkan oleh budaya dan prinsip yang diamalkan oleh masyarakatnya. Tidak sampai 20 tahun selepas kalah Perang Dunia Kedua, bangsa Jepun bangkit dari kehancuran Hiroshima dan Nagasaki, menjadi kuasa besar yang seterusnya menggegar dominasi Amerika Syarikat dan Eropah. Kebangkitan Jepun dalam tempoh yang cukup singkat bukan disebabkan oleh wang, bukan juga kebetulan, tetapi kerana budaya dan prinsip yang diamalkan oleh mereka.

Orang yang mengamalkan dan melaksanakan budaya dan prinsip seperti displin, menepati waktu, bersih, hormat kepada orang lain, kreatif, penuh dengan kemesraan, cintakan ilmu, mereka inilah yang akan berjaya.

Sebab itulah seorang ulama’ iaitu almarhum Sheikh al Ghazali dalam pemerhatian beliau telah berkata ”Aku lihat orang Islam hidup di negara-negara Timur Tengah, tetapi aku lihat Islam itu hidup di Jepun dan Korea.”

Mengambil iktibar dari pengalaman Negara Jepun di atas, dan sebagai asas kepada gagasan Transformasi Terengganu Baharu, saya ingin mencadangkan 8 prinsip TTB.

Pertama ialah Prinsip Inklusif yang bermaksud meraikan suara rakyat sebagai input pembangunan. Setiap program pembangunan seharusnya mengikut apa yang rakyat mahu, bukan apa yang kita hendak.

Untuk itu, saya telah memperkenalkan dan telah menggerakkan Majlis-Majlis Perundingan Rakyat (MPR) di seluruh daerah. MPR di setiap daerah akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah yang berkenaan dan keanggotaan merangkumi segenap kelompok dalam masyarakat setempat.

Kedua – menjadikan Masjid dan Surau sebagai sumber penyatuan.

Terdapat lebih 400 buah masjid dan ratusan buah surau. Saya bangga kerana banyak pembaharuan telah dilakukan seperti penggunaan alat bantu visual dalam khutbah Jumaat dan tahap pengurusan masjid yang semakin baik. Tapi saya percaya kita boleh lakukan yang lebih baik.

Untuk itu, sebuah masjid contoh akan dibina di setiap daerah bertujuan memperluaskan lagi fungsi masjid sebagai sumber penyatuan masyarakat. Sebagai permulaan, Masjid Al Muktafi Billah Shah atau Masjid Ladang akan dijadikan model ke arah itu.

Ketiga – menggalakkan usaha menyubur pembinaan Keluarga yang Bahagia sebagai asas kesejahteraan Rakyat.

Institusi kekeluargaan adalah unit terpenting dalam pembinaan setiap masyarakat. Ledakan maklumat, pengaruh Barat dan tuntutan kehidupan semakin menghakis kejelekitan atau daya yang menyatukan institusi kekeluargaan.

Keempat – Prinsip Integriti iaitu bersih luaran dan dalaman. Kebersihan adalah cerminan iman. Persekitaran dan kebersihan luaran mesti dijaga. Ianya lambang budaya dan bangsa. Tambahan pula persekitaran yang kotor sangat tidak baik kepada bidang pelancongan yang merupakan salah satu bidang ekonomi utama Negeri Terengganu.

Kebersihan dalaman pula bermaksud bersih dari sebarang bentuk gejala seperti rasuah, penyelewengan dan ketirisan. Saya telah nyatakan secara tegas iltizam saya untuk memerangi rasuah, penyelewengan dan ketirisan. Semoga Allah SWT memberi kita semua kekuatan untuk sentiasa istiqamah dalam hal ini.

Kelima – Mesra tapi tegas. Senyuman adalah satu perkara mudah tapi sukar untuk dilakukan. Senyuman dan tegur sapa memecah tembok persepsi yang menghalang hubungan baik sesama manusia. Kita perlu lebih banyak senyum dan bertegur sapa. Ianya menjadi lebih mudah dengan adanya sms, WhatsApp, sms, twitter, yang penuh dengan emoticon. 

Keenam – Disiplin kerja yang tinggi. Disiplin kerja menekankan soal konsisten, atau kegigihan dan istiqamah. Penampilan dan kemahiran insan atau soft skills juga boleh meningkatkan imej dan keyakinan kita serta kebolehpercayaan orang lain kepada kita bahawa kita boleh buat kerja.


Ketujuh – Seruan ke arah Perpaduan. Isu perpaduan bukan isu baru dan kita semua sedia maklum akan peri pentingnya perpaduan. Isunya ialah bagaimana kita boleh mengeratkan lagi perpaduan melalui usaha dan program yang di luar dari kebiasaan.

Dan Kelapan – Memperkasa bidang Pendidikan.

Antara inisiatif awal bagi memperkasa bidang pendidikan ialah:

Program Mensasarkan Sifar Lepasan SPM ke Universiti,

Penubuhan Sekolah-Sekolah Pondok Moden,

Rasionalisasi institusi-institusi pendidikan tinggi kerajaan negeri seperti TATI, TESDEC, TTITC dan Institut Al Qur’an,

Program Peningkatan Bahasa Inggeris dan Matematik pelajar Lepasan SPM,

Penubuhan Sekolah Berasrama Penuh IMTIAZ Elit,

Penubuhan 3 buah Sekolah Menengah IMTIAZ baru di Marang, Setiu dan Kuala Nerus bermula Januari 2015

Pengenalan Program IGCSE (International General Certificate for Secondary Education) bagi kemasukan pelajar terus ke Peringkat A Level,

Dan Islamic Science Program iaitu penajaan 3 pelajar hafiz IMTIAZ SPM 2014 ke universiti luar negara dalam bidang Aerospace Engineering sehingga ke peringkat PhD.

Lapan Prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) ini akan dijadikan panduan dan akan diterapkan dalam pentadbiran kerajaan.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Rakyat mengharapkan hanya yang terbaik. Mereka mendengar dengan penuh tumpuan, mereka memerhati dengan penuh harapan, mereka punyai seribu impian.

Rakyat mahukan politik yang stabil, ekonomi yang mapan, peluang pekerjaan yang baik, pendidikan yang memanfaatkan anak-anak, perniagaan yang menguntungkan.

Rakyat mahukan ketenangan dalam kehidupan, keselesaan dalam berurusan, kedamaian dalam beragama.

Rakyat mengharapkan masyarakat yang bersatu padu. Perbezaan politik bukan tiket untuk kita berpecah belah. Mereka mahukan perpaduan dan Ukhuwwah yang benar-benar luhur, dan kasih sayang sesama insan.

Rakyat mahukan pemimpin yang amanah, penguasa yang adil, pembela kepada yang lemah, tempat bergantung harap mereka yang kerdil.

Rakyat mengharapkan wakil rakyat yang benar-benar jujur, wakil rakyat yang sanggup menjadi hamba kepada rakyat yang diwakilinya, wakil rakyat yang menepati janji.

Tegasnya, rakyat impikan negara yang aman, negara yang makmur, negara yang sejahtera, negara yang mendapat pengampunan Allah SWT. “Baldatun tayyibatun warabbun ghafur…..”.

Apakah lagi tujuan apabila kita diberi kuasa dan amanah, kalau bukan untuk berusaha sehabis baik membantu rakyat? Kita adalah kerajaan dari rakyat, kepada rakyat, untuk rakyat.

Atas dasar ini, kita mesti lebih bersikap empati. Hasrat rakyat mungkin ada yang dianggap kecil bagi kita, tapi sebenarnya amat besar bagi mereka.

“Kecil bagi kita, besar bagi rakya”t adalah satu pendekatan untuk merapatkan hubungan dan rasa kasih dan sayang di antara pemimpin dengan orang yang dipimpin.

Kecil bagi kita, besar bagi rakyat harus ada proses timbal balik (reciprocity). Kita sebagai kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi hajat dan permintaan rakyat. Di masa yang sama, rakyat juga haruslah berpada-pada dan berlapang dada, meminta, mencadangkan, mengadu, menyampaikan hajat mengikut apa yang munasabah. Sekiranya tidak, kecil bagi kita, besar bagi rakyat akan menjadi kecil bagi rakyat, besar bagi kita.

Insya Allah, sekiranya seluruh rakyat bergerak bersama, sederap selangkah, sehati dan sejiwa, menyumbang ke arah pembangunan negeri dan negara, bangsa dan agama, Rakyat Terengganu mampu mencipta kehebatan, mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mana – mana rakyat bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian,

Seminar Transformasi Terengganu Baharu pada pagi ini adalah salah satu cara menggalakkan prinsip inklusif. Kita boleh mulakan dengan menjana suasana dan menunjukkan contoh teladan yang baik. Malah banyak lagi yang boleh dilakukan tanpa memerlukan peruntukan yang banyak. Kita perlu sedikit kreatif.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Ahli Panel Forum sempena Seminar Transformasi Terengganu Baharu iaitu YB Haji Wan Abdul Hakim, ADUN Air Putih; Dato’ Haji Wan AlBakri, ahli perniagaan dan juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ladang; dan Tuan Haji Ahmad Faris Yahaya iaitu Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd.

Cyberview ialah sebuah syarikat kerajaan milik penuh Kementerian Kewangan diperbadankan, dan bertanggungjawab atas pembangunan bandar Cyberjaya.

Saya percaya seminar ini akan berjalan dengan baik dan saya akan hadir sama sebagai peserta dengan penuh teruja untuk mendengar juga input dari para peserta seminar.

Sebagaimana ayat suci Al Qur’an dalam Surah Hud ayat 88 yang bermaksud:

”…..Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku : dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah……..”

Dengan lafaz ”Bismilla hirrahma nirrahim, saya dengan ini merasmikan Seminar Transformasi Terengganu Baharu.

Sekian, wassalam.