Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam 1 Malaysia.
1. Alhamdulillah, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya telah dapat saya menyampaikan perutusan sempena permulaan sesi persekolahan tahun 2015 bagi sekolah-sekolah di negeri Terengganu. Saya bersama barisan kepimpinan kerajaan juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2015. Mudah-mudahan pada tahun ini kecemerlangan dalam pendidikan dapat kita sama-sama pertingkatkan lagi. Sesungguhnya tahun 2014 telah banyak memaparkan episod suka duka warga pendidik, PIBG dan para pelajar dalam mengharungi pelbagai cabaran demi memahat sejarah kecemerlangan pendidikan di negeri Terengganu. Bagi pihak kerajaan saya mengucapkan syabas dan terima kasih.
2. Setiap kecemerlangan kita akan warisi melalui tiga tahap masa, iaitu masa lalu, masa sekarang dan masa akan datang. Masa lalu merupakan catatan sejarah, masa ini adalah masa yang penuh dengan cabaran, sementara masa akan datang pula merupakan suatu pengharapan berbentuk misteri. Semuanya penting, urutan perubahan masa inilah yang telah banyak mematangkan kita dalam perjuangan memperkasakan pendidikan.
Transformasi Terengganu Baharu (TTB)
3. Sebagai insan yang telah diberi amanah untuk memimpin pembangunan negeri Terengganu, saya dan barisan kepimpinan telah memperkenalkan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) sebagai strategi memacu pentadbiran ke arah memenuhi kehendak rakyat. Terdapat 8 prinsip yang mendokongi Transformasi Terengganu Baharu, prinsip ke-8 ialah Memperkasakan Pendidikan.
4. Proses Memperkasakan Pendidikan memerlukan suatu transformasi yang berani dan berterusan. Maka sebagai seorang bekas pendidik saya sangat memahami bahawa penggerak utamanya adalah para guru. Sentuhan warga pendidik adalah sentuhan “keramat” yang mampu dijana melewati pemikiran biasa. Dengan izin Allah SWT kita telah buktikan prestasi pencapaian UPSR pada tahun 2014 sebagai Juara 5A, Juara GPA, Juara kelulusan minima gred C. Alhamdulillah, sifat muafakat membawa berkat terserlah dengan nyata sekali diantara pihak pengurusan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah, PIBG dan pelbagai agensi. Adunan inilah yang memberi kekuatan luar biasa bagi pendidikan negeri Terengganu. Apa tidaknya, anda warga pendidik telah menabur khidmat bakti tanpa mendahulukan upah dan laba. Syabas dan terima kasih semua. Doa saya agar semua dilimpahi barokah daripada Allah SWT hendaknya.
5. Inilah sebenarnya kalimat indah yang sentiasa berlegar di sanubari saya, warga pendidik yang dimiliki oleh negeri Terengganu ini bukan alang kepalang. Sentiasa berdiri gagah di barisan hadapan, sentiasa berpasakkan angan menerobosi realiti kehidupan, yang pasti rintangan mendatang tetap dianggap peluang. Demi anak didiknya, jika patah sayap bertongkat paruh murid pasti dalam ingatan, walaupun kadang-kala belaian kasih anak sendiri tidak kesampaian. Pengorbanan anda semua, saya dan barisan kepimpinan tidak akan kesampingkan, malah sentiasa mensyukuri. Kami juga insaf dan sedar bahawasanya apa jua kemenjadian kita, sehingga petah menyebut alif, ba, ta, a, b, c, dan mengira 1, 2, 3 semuanya berasal daripada seorang guru biasa. Percayalah anda warga pendidik dan khalayak pendidikan sentiasa dekat di hati kami. Tanpa anda siapalah kami.
6. Saya melihat sumbangan warga pendidik mempunyai impak yang tinggi dalam melaksanakan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu gerakan secara berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sebab itulah melalui Transformasi Terengganu Baharu (TTB) saya menjadikan agenda pembangunan pendidikan sebagai salah satu prinsip yang perlu diberi keutamaan. Dalam hal ini sekali lagi saya menyeru warga pendidik ,marilah kita memperkemaskan tekad untuk terus melestarikan kecemerlangan. Sederapkan langkah perbetulkan arah, insya Allah segala yang payah akan dipermudah dan yang betul tidak lagi dipersalah.
7. Kluster Pendidikan di bawah PUTRA ditubuhkan oleh kerajaan adalah semata-mata untuk merancang, memantau serta menambah nilai keberkesanan perancangan pembangunan pendidikan. Kecemerlangan akademik, ko-kurikulum dan adab-adab hidup bermasyarakat menjadi pertimbangan utama. Saya dan barisan kepimpinan tertinggi kerajaan ingin melihat pelajar-pelajar yang terdidik daripada institusi pendidikan di negeri Terengganu yang terkenal dengan NEGERI ANJUNG ILMU ini, berani berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Malah kita ingin sekali membantu golongan pelajar yang berjiwa besar meneroka ilmu duniawi dan ukhrawi selari dengan kepesatan perubahan teknologi yang berkualiti tinggi.
8. Oleh sebab itulah semasa pembentangan bajet negeri Terengganu tahun 2015 yang lalu, saya menekankan roh pentadbiran yang berdimensi baharu ini berslogankan DARI RAKYAT KEPADA RAKYAT UNTUK RAKYAT. Maka dalam skop inilah juga saya dengan berlapang dada turut menyeru warga pendidik di segenap penjuru alam, mari kita imarahkan “Muafakat itu Membawa Berkat”. Dalam soal pendidikan kita tidak ada kompromi. Biarlah kita tidak popular di kalangan kelompok tertentu, asalkan masa depan rakyat terpelihara. Apa lagi yang lebih penting selain ilmu penuh di dada, sekali kita telah dinobatkan sebagai juara dipersada, tidak mungkin lagi kita menoleh ke belakang. Kita buktikan SOLIDARITI bukan sekadar cakap tetapi kita warga pendidik amalkan secara cermat dan berhemat.
Kepekaan dengan dasar-dasar kerajaan.
9. Dasar pendidikan yang digubal menggambar aspirasi kerajaan bagi menentukan hala tuju pendidikan negara dan menjadi teras kepada matlamat Wawasan 2020 yang hanya berbaki kira-kira lima tahun sahaja lagi. Tempoh sesingkat ini tidak langsung memungkinkan kita warga pendidikan leka dengan isu-isu picisan yang boleh membantut kerancakkan kecemerlangan selari dengan harapan pucuk pimpinan tertinggi negara yang berhasrat menjadikan pendidikan bertaraf dunia.
10. Integriti merupakan asas kepada tadbir urus pendidikan yang berkualiti. Integriti atau kejujuran seseorang pendidik itu lebih penting daripada ilmu dan kepakaran dalam penyampaian ilmu kepada para pelajar. Seorang pendidik yang berintegriti akan melaksanakan amanah sebagai seorang pendidik dengan hati yang tulus ikhlas. Ilmu dan kemahiran yang dicurahkan kepada muridnya akan tiba ke hati secara bermakna. Sebaliknya pendidik yang tidak berintegriti pengajarannya hanyalah sekadar penyampaian dari metakognitif semata-mata. Kefahaman memang ada tetapi ketibaan makna ilmu tidak kesampaian. Saya amat serius dalam aspek ini, sebab itu di dalam Transformasi Terengganu Baharu, integriti tercatat sebagai prinsip ke- 4.
11. Saya suka mengingatkan diri saya dan warga pendidik sekalian agar terus membudayakan KECIL BAGI KITA BESAR BAGI RAKYAT sebagai tagline yang perlu dihayati demi menyahut harapan YAB Dato’ Sri Perdana Menteri Malaysia yang mengharapkan semua penjawat awam agar mendahulukan kehendak rakyat, tanpa mengabaikan kualiti pencapaian. Sama-samalah kita menggunakan semua strategi yang ada untuk membantu masyarakat merasai nikmatnya menjadi insan ternama yang terbina melalui pendidikan. Bagi rakyat jelata, guru adalah segala-galanya bagi mereka, untuk mengajar dan mendidik anak-anak sendiri ilmunya tiada. Mungkin bagi kita bimbingan membaca, menulis dan mengira di kelas tambahan dianggap sumbangan kecil sahaja, tetapi bagi ibubapa sungguh besar maknanya. Jika ini boleh dijadikan suatu budaya dalam strategi pengajaran guru, saya begitu yakin di negeri Teregganu ini tidak akan kita ketemui GURU YANG FAKIR FIKIR.
12. Saya perlu mengingatkan seluruh warga pendidik di negeri Terenggaanu mengenai betapa perlunya istiqamah dalam usaha melaksanakan pelbagai program pendidikaan yang Berjurus dan fokus, supaya hasrat yang terkandung dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB) tercapai dalam masa terdekat. Berada di lapangan dan turun padang merupakan kaedah penyampaian ilmu yang berimpak tinggi. Keluh kesah pelanggan dapat dilihat dengan mata hati, ini secara terus akan menzahirkan keinsafan yang tulus dan kudus. Mudah-mudahan rasa kesangsian segera terhapus.
Harapan
13. Sebelum tahun 2014 melabuhkan tirainya, negeri Terengganu yang kita sayangi ini telah ditimpa bencana banjir yang teruk. Beberapa daerah telah mengalami kerosakan harta benda dan kesulitan meneruskan aktiviti seharian. Maka sekali lagi saya dapat melihat penglibatan para pendidik di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir telah bertugas dengan penuh gigih dan sabar, walaupun ada di antara mereka yang diuji dengan pelbagai cabaran karenah mangsa perpindahan. Tuan-tuan semua orang yang hebat. Rupa-rupanya tugas seorang pendidik jauh lebih luas dan mencabar. Bermula di dalam bilik darjah, di padang, di bukit, di sawah malah dilautan sekalipun dalam bertugas guru tidak mudah mengalah. Kepada semua warga pendidik saya ucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga.
14. Pendidik juga ibarat petani yang menabur benih segenggam, kepingin melihat padi sebendang, tetapi kadangkala benih yang ditabur menjadi lalang seluas pandangan. Demikian kias ibarat orang Melayu lama, hanyasanya kita hendaklah berusaha dan berikhtiar tetapi pada masa yang sama jangan pula lupa bertawakkal kepada Allah SWT. Memang kita boleh merancang untuk meraih kecemerlang, namun perancangan Allah SWT jualah yang menjadi penentu akhirnya. Jangan kita mudah kecewa dan berputus asa, bersabar itu sebahagian daripada iman.
15. Sempena permulaan sesi persekolahan tahun 2015, saya sekali lagi bagi pihak barisan kepimpinan dan kerajaan mengucapkan terima kasih dan melahirkan perasaan bangga di atas khidmat bakti warga pendidik yang telah melaksanakan amanah sepanjang tahun 2014. Selamat menjalankan tugas diucapkan kepada semua warga pendidik pada tahun 2015. Kepada murid-murid saya ucapkan selamat belajar, kuatkan semangat, perkasakan jati diri mudah-mudahan bibit kejayaan pasti dinikmati. Marilah kita berpadu tenaga dalam menterjemahkan perancangan pendidikan kepada sebuah realiti bukannya sebuah fantasi.
Sesungguhnya kepada Allah saya berserah. Cucurilah rahmat ke atas warga pendidik kami supaya tidak berpaling arah.
Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih