Sunday, April 3, 2016

Mengukuh Akar Umbi



UMNO Terengganu menyediakan peruntukan berjumlah kira-kira RM6.25 juta untuk disalurkan kepada 1,042 cawangan sebagai persiapan menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14) tidak lama lagi.

Peruntukan itu termasuk RM1,000 kepada setiap cawangan UMNO bagi mengadakan persidangan yang bermula 18 Mac sehingga 1 Mei ini.

Selain itu, setiap cawangan juga akan menerima RM5,000 sebagai perbelanjaan pengurusan tahunan termasuk membuat persiapan dan keperluan di pusat daerah mengundi (PDM) masing-masing.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, perbelanjaan itu membuktikan kesungguhan UMNO Terengganu bagi mengadakan persiapan-persiapan dan menyiapkan jentera parti itu menjelangnya PRU14 nanti.

“Ini kenunjukkan kesungguhan UMNO Terengganu mengadakan persiapan-persiapan kerana inilah masa yang terbaik untuk kita merapatkan semula saf kepimpinan, menyediakan keperluan dan mengejutkan semua ahli dan pemimpin supaya lebih bersedia berdepan dengan PRU yang akan datang, kerana sudah pastinya (PRU14) akan lebih hebat berbanding dengan yang dahulu dengan isu-isu yang ada sekarang,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Perjumpaan Khas YAB Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman Bersama Kepimpinan Akar Umbi Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan ketua-ketua sayap negeri.

Hadir sama, lebih 4,000 pemimpin UMNO di peringkat cawangan seluruh Terengganu.

Ahmad Razif berkata, majlis itu juga sebagai tanda memulakan kerja bersempena dengan tahun-tahun menghadapi `peperangan’ pada 2016 sehingga 2017, iaitu menjelangnya PRU14 nanti.

“Majlis hari ini bersempena dengan tahun peperangan (2016). Kita mempunyai tiga tahap, iaitu pada tahun pertama 2014 merupakan tahun pemurnian, masuk sahaja 2015 sebagai tahun perpaduan dan 2016 serta 2017 diisytiharkan sebagai tahun peperangan.

“Maka majlis hari ini sebagai majlis meletak kerja dan kita minta supaya semua bersedia untuk membuat persiapan di peringkat Bahagian, DUN, PDM dan juga cawangan-cawangan,”katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hasil bedah siasat kekalahan Barisan Nasional di beberapa kerusi pada PRU lepas, beliau berkata terdapat kebocoran di kalangan ahli UMNO sendiri termasuk mereka tidak keluar mengundi.

Katanya, UMNO negeri akan mengenalpasti punca dan sebab utama orang UMNO sendiri tidak keluar mengundi dan mengambil contoh kejadian di Bahagian Kuala Nerus apabila 7,000 lebih tidak keluar mengundi, sedangkan BN hanya tewas 700 undi.

“Mungkin kerana kekuatan tiada di peringat cawangan dan akar umbi. Oleh itu di peringkat cawangan perlu digerakkan dan diperkuatkan lagi, termasuk menyediakan apa sahaja keperluan kepada mereka setakat yang termampu dan yang utama memberikan motivasi serta semangat supaya mereka mampu memberikan kerjasama tanpa mengharapkan sesuatu.

“Apa yang mustahak kita bekerja bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kejayaan BN dan UMNO bersandarkan motto `Gelombang Biru Baharu’, katanya.