Monday, June 18, 2012

Hab Penerbangan Pantai Timur Ke Jeddah



LTSM hab penerbangan
Ahmad menerima cenderamata daripada wakil Kafa selepas merasmikan Mesyuarat
Agung Persatuan Guru-guru Kafa Negeri Terengganu (Perkat) Kali Ke-4 Tahun 2012
KUALA TERENGGANU – 

Kerajaan Negeri kini mengadakan rundingan dengan beberapa buah syarikat penerbangan yang berminat untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sebagai hab penerbangan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia masih di peringkat rundingan dan usaha ke arah itu sedang dilakukan, dalam menjadikan LTSM sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa.

Buat peringkat permulaan katanya, Kerajaan Negeri sudah berjaya membawa jemaah haji Terengganu terus ke Jeddah.

“Sekarang ini kita di peringkat kedua untuk menjadikan Terengganu sebagai hab penerbangan haji dan umrah untuk Pantai Timur.

Sekarang ini kita sedang berunding dengan Syarikat Penerbangan Saudi (Saudi) untuk dua penerbangan.

“Bagi tahun depan kita sudah bersetuju dan telah keluarkan iklan.

Maknanya jemaah umrah dari Pantai Timur boleh terus dari Terengganu ke Madinah dengan 21 penerbangan, menaiki pesawat Airbus A350 yang mampu memuatkan 350 jemaah, berbanding Boeing 747-400 sebelum ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Guru-guru Kafa Negeri Terengganu (Perkat) Kali Ke-4 Tahun 2012 di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Kata Ahmad, Saudi sudah bersetuju untuk memenuhi keperluan jemaah haji dan umrah, bagi penerbangan haji kali ini Kerajaan Negeri meminta 14 penerbangan terus.

Ia memungkinkan 50 peratus daripada jemaah haji akan pergi menerusi Saudi dan selebihnya dengan penerbangan lain, untuk membawa jemaah haji dari Terengganu dan Kelantan serta selebihnya dari Kuantan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta semua anggota parti itu terlibat secara langsung dalam pilihan raya agar menangguhkan ibadat haji bagi menghadapi pilihan raya umum, Ahmad berkata, mungkin pemimpin Pas itu keliru.

“Pemimpin Pas ini sama ada terkeliru atau apa, meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya.

“Orang Umno pun ada juga yang pergi menunaikan haji, (malah) saya rasa orang Umno lagi ramai. Takkan kita nak tahan orang yang nak menunaikan haji pula,” katanya.`