Tuesday, June 26, 2012

Undi PAS tidak masuk syurga – Ustaz Hassan Basri Mohamad.



Penyokong PAS diajak mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PR13) kerana mengundi parti Islam itu tidak menjamin masuk syurga sebaliknya mengundi BN memberi lebih kebaikan kepada agama Islam.

Bekas Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Hassan Basri Mohamad, berkata penyokong PAS jangan termakan fatwa pemimpin parti itu kerana PAS bukan agama Islam tetapi ia sebuah parti politik.

Malah,katanya, dakwaan pemimpin PAS parti itu memperjuangkan Islam juga tidak benar kerana pemimpinnya sudah banyak melanggar prinsip perjuangan Islam dan menolak Al-Quran yang dijadikan pegangan kepada parti itu.

“Kalau dulu ia menuduh ahli UMNO kafir kerana berkawan dengan rakannya dari MCA dan MIC tetapi parti PAS kini bersekongkol dengan DAP dan apa bezanya antara UMNO dan PAS,” katanya.

Beliau berucap dihgadapan 5,000 tetamu pada Ceramah Perdana anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Besut, di padang Sekolah Kebangsaan Padang Lus, dekat Jertih, malam tadi.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh,yang juga ADUN Jertih, Timbalannya, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Kota Putera) dan Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar (ADUN Kuala Besut).

Hassan juga mengingatkan umat Islam dan bangsa Melayu akan rugi besar jika memberi laluan kepada Pakatan Rakyat (PR) memerintah Malaysia kerana semua kepentingan Melayu,Agama Islam dan Raja Melayu akan dihapuskan.

Beliau yang sebelum ini turut merangka manifesto Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum ke 12 berkata kerajaan PR Selangor sehingga ini tidak menunaikan 21 janji yang dibuat pilihan raya lalu dan rakyat sepatutnya sedar dengan kegagalan kerajaan Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Oleh: Mohammad Ishak