Wednesday, August 20, 2014

100 Hari (12 Mei - 19 Ogos 2014) Kepimpinan YAB Dato Haji Ahmad Razif Abd. Rahman Menjadi Menteri Besar Ke 14

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman menggunakan tempoh 100 hari pentadbiran yang berteraskan konsep Transformasi Terengganu Baharu (TTB) sebagai platform untuk menilai semula dan menterjemahkan pencapaian.

“Hari ini merupakan genap seratus hari saya menerima tanggungjawab sebagai Menteri Besar. Tetapi bagi saya tidak perlu kita raikan sambutan 100 hari itu kerana apa yang mustahak sekarang kita kena buat kerja.

“Sebab itulah bila dicadangkan hendak buat program menyambut 100 hari saya menjadi Menteri Besar saya tidak setuju. Saya minta untuk buat seminar bagi memperjelaskan lebih lanjut tentang konsep TTB,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Seminar Transformasi Terengganu Baharu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan terus mengadakan program seperti itu dari semasa ke semasa.

“Saya dah minta pihak Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memastikan bahawa seminar-seminar berkaitan TTB akan terus turun ke bawah supaya kita dapat terjemahkan dan dapatkan maklum balas dari rakyat tentang apakah keperluan yang boleh kita ketengahkan dan beri perhatian.

“Ini kerana salah satu daripada lapan prinsip TTB ialah bersifat inklusif iaitu suara rakyat adalah suara keramat,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga telus mendapatkan dari sumber-sumber yang sepatutnya apakah keperluan-keperluan yang perlu kerajaan sediakan untuk memastikan aspirasi rakyat dapat diterjemah.

“Saya juga sudah minta Institut Darul Iman (Idaman) buat persediaan di mana enam bulan sekali akan dibuat kajian untuk melihat sokongan rakyat tentang program yang kerajaan laksanakan,” katanya.