Sunday, January 11, 2015

Kerajaan BN Terengganu Biayai Rumah Penempatan Sementara Mangsa banjir


Penderitaan mangsa banjir yang terpaksa berteduh di bawah khemah selepas rumah hanyut dan musnah dalam bencana banjir di Kelantan mendapat perhatian Kerajaan Terengganu apabila 1,000 sukarelawan bersama 100 tukang rumah akan ke penempatan itu bagi membina rumah sementara kepada mangsa, bermula Jumaat ini.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebanyak 30 tan kayu dan pelbagai bahan binaan yang dianggarkan bernilai RM200,000 akan dibawa ke kawasan terjejas banjir di Dabong, Kuala Krai bagi membina beberapa unit rumah transit menggunakan struktur pasang siap sepanjang dua hari misi berkenaan.

“Kita akan membawa tukang-tukang, segala peralatan termasuk kayu berjumlah 30 tan dan atap bagi membina rumah serta membantu sekadar yang boleh kepada mangsa yang masih tinggal di atas jalan di bawah-bawah khemah.

“Kita juga memiliki cadangan model rumah yang akan dibina bagaimanapun bergantung kepada persetujuan daripada pihak di sana. Kita sudah meminta pihak kita merangka pelan rumah transit itu dan ia senang kerana konsepnya menggunakan papan lapis, atap dan pasang siap serta lebih cepat,” katanya.