Tuesday, January 20, 2015

Terengganu Kaji Semula Bajet 2015


Kerajaan Negeri Terengganu hari ini menyambut baik pengumuman langkah pengubahsuaian ekonomi negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Menteri Besar Datuk Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata tiga strategi utama yang diumumkan adalah bersesuaian dengan situasi ekonomi dunia yang sedang berlaku.

"Jelas sekali kerajaan Malaysia amat peka dengan keadaan yang berlaku dan pengubahsuaian yang dibuat sangat tepat bagi memastikan pembangunan negara tidak akan terbantut ekoran kelembapan ekonomi dan penurunan harga minyak dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri Terengganu akan turut menyemak semula Bajet Negeri 2015 yang dibentangkan pada Disember lalu memandangkan bajet yang dibentangkan akhir tahun lalu berdasarkan kepada perolehan yang sebelum ini.

Tambah beliau, bajet negeri yang dibentangkan mungkin berlaku sedikit perubahan apabila harga minyak sedikit menyusut sesuai dengan peratusan royalti petroleum yang bakal diterima daripada kerajaan pusat pada tahun ini.

Ahmad Razif berkata sebelum ini kerajaan negeri pernah mengumumkan bahawa bermula pada tahun ini, kerajaan akan memulakan langkah perbelanjaan yang berhemah.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan turut mengkaji semula kos pembeliaan aset, penyelenggaraan dan utiliti, seiring dengan pengubahsuaian yang diumumkan oleh perdana menteri.

"Oleh kerana kita tidak mahu lagi bergantung kepada sektor minyak dan gas, kerajaan negeri akan memperkasa dan meningkat penambahbaikan sektor-sektor lain seperti sektor pelancongan dan perkhidmatan," tambahnya lagi.

Ahmad Razif turut berkata kerajaan negeri akan meneruskan projek-projek yang memberi manfaat dan faedah kepada rakyat