Tuesday, November 3, 2015

Mengukuh Perpaduan Parti


Konvensyen UMNO Terengganu 2015 yang bertemakan ‘Islam Dijulang Melayu Terbilang’ akan berlangsung selama dua hari bermula 5 November ini di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, merangkap Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman bakal menyempurnakan perasmian kovensyen itu pada sebelah petang.

Katanya, Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri pula akan menutup tirai kovensyen pada 6 November, sebelah malam.

“Pada hari Jumaat (6 November), 13 pembahas dari lapan Bahagian UMNO, sayap-sayap parti, Tokoh UMNO dan Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) akan membentangkan pandangan serta buah fikiran mereka tentang perjalanan serta gerak kerja parti ke arah memastikan kemenangan yang mutlak milik UMNO Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena sidang media Konvensyen UMNO Terengganu 2015, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Perhubungan Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Muhammad Pehimi berkata, kovensyen ini diharap akan menjadi medan untuk mencerna idea dinamik serta menyampai pandangan yang bernas dalam memastikan UMNO terus relevan dan menjadi pilihan rakyat.

Dalam masa yang sama katanya, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman juga akan melancarkan gerak kerja UMNO untuk PRU-14 yang menggariskan bukan sahaja pelan strategik tetapi juga gerak kerja terperinci untuk memastikan gerakan yang mantap.

Katanya, seramai 848 orang perwakilan dari lapan Bahagian dan 153 jemputan khas yang terdiri daripada veteran UMNO, ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Terengganu dan mantan YB serta wakil anak muda dari Permata akan menghadiri konvensyen tersebut.