Thursday, January 21, 2016

Dakwaan Kebudak-budakan

Dakwaan PAS Terengganu melalui Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri, Hanafiah Mat kononnya beberapa ADUN BN mahu menjadi wakil rakyat Bebas adalah tidak masuk akal dan bersifat kebudak-budakan.

Dakwaan itu hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu percakaran antara PAS dan Parti Amanah Rakyat di Terengganu, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri, Wan Hakim Wan Mokhtar.

“Namun yang menarik perhatian saya ialah sikap ‘terbuka’ ADUN Chukai itu yang menceritakan segala proses, niat serta strategi orang tertentu tersebut untuk menumbangkan kerajaan BN di Terengganu.

“Dengan menceritakan segala-galanya sudah tentu ia bukan lagi menjadi strategi kerana tiada lagi elemen kejutan dan sekiranya benar ada Adun BN yang akan berbuat demikian, apakah niat ADUN Cukai memaklumkan pada orang ramai melalui akhbar,” katanya.

Sebelum ini, Hanafiah mendakwa beberapa ADUN BN hanya menunggu masa sesuai untuk mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas.

Sehingga hari ini, dakwaan itu tidak berlaku, sebaliknya ada wakil rakyat PAS yang meninggalkan parti itu dengan menyertai Amanah.