SEKALIPUN mempunyai urusan yang agak penting di Johor Baharu, tetapi Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Zubir Embong yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Terengganu sempat singgah di Kajang seketika bertemu dengan beberapa penduduk sekitar sebuah taman di bandar Kajang, berkempen supaya menyokong calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dun itu, hari ini.
Antara rumah yang dikunjungi beliau ialah rumah seorang penduduk berasal dari Terengganu iaitu Zawawi Jaafar. Beliau yang menetap di Kajang lebih 20 tahun lalu itu, sempat juga membawa Zubir ke beberapa rumah berhampiran rumahnya untuk bertemu pengundi Dun Kajang.
Dalam kunjungan itu, Zubir sempat berbual mesra dan meminta supaya pengundi memangkah calon BN pada pilihanraya nanti.
Selain itu, Zubir juga berkunjung ke rumah seorang pemimpin vateran UMNO Sungai Jelok, Azman Mohd untuk mengucapkan tanhniah atas segala usaha yang dilakukan ahli UMNO itu sebelum ini dan juga bagi menghadapi PRK Kajang.
"Saya mengharapkan BN akan mencapai kemenangan dalam pilihanraya kecil ini supaya pembangunan untuk Kajang ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan Pusat dengan lebih sempurna untuk kesejahteraan penduduk di Dun ini," katanya.