Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman telah mengadakan perjumpaan tertutup bersama lima ADUN Barisan Nasional di Wisma Darul Iman, hari ini.
Perjumpaan selama hampir sejam tersebut melibatkan ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar; ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa; ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar; ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan ADUN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.
Dalam perjumpaan tersebut, lima ADUN tersebut yang juga ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Terengganu bersetuju dan bersepakat bahawa kemelut yang berlaku di Terengganu tidak menggugat pentadbiran kerajaan negeri.
Setiausaha BNBBC, Mohd Iskandar berkata, ADUN dinasihatkan oleh Menteri Besar supaya menjalankan kerja seperti biasa.
“Sebagai wakil rakyat, Menteri Besar mengarahkan agar terus bertugas dan berkhidmat di kawasan masing-masing seperti biasa,” katanya.
Tambahnya, media sosial sekarang banyak viralkan sesuatu isu dengan tidak tepat berkenaan dengan pertukaran Menteri Besar serta calon-calon yang bakal dijadikan Menteri Besar.
“Itu sebenarnya hanyalah khabar angin yang tidak dapat dipastikan kesahihan faktanya.
“Ianya bukannya datang dari sumber tepat sama ada dari pihak pentadbiran kerajaan ataupun pihak berwajib dalam hal ini,” katanya.