Monday, July 25, 2011

BN Perlu Dipasar Kepada Rakyat

Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu melaksanakan dua strategi penting iaitu 'pemasaran dan penjualan' untuk menang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 (PRU-13) yang akan datang.

Ketua Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, BN mempunyai produk yang cukup baik untuk 'dipasarkan' kepada rakyat bagi memastikan agar mereka terus menyokong parti itu pada masa-masa akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, produk yang dimaksudkan itu ialah parti-parti komponen BN, para pemimpinnya dan dasar serta masa depan BN sendiri.

"Di bawah strategi penjualan, ia berkisar tentang hubungan antara pemimpin dengan rakyat menerusi kunjungan dari rumah ke rumah dalam usaha meraih sokongan kepada BN.

"Strategi pemasaran pula melibatkan konsep 5P iaitu produk, harga program, tempat, promosi serta pelaksana," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Konvensyen BN Terengganu 2011 serta pelancaran Jentera BN negeri di Primula Beach Resorts di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Penerangan UMNO Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Ahmad turut memuji langkah BN Terengganu menganjurkan konvensyen berkenaan dengan jayanya sebagai persiapan semua parti komponen BN negeri itu menghadapi PRU-13 nanti.

Beliau memberitahu, buat masa ini, hanya Terengganu dan Wilayah Persekutuan yang menjayakan konvensyen seumpama itu dan ia perlu dicontohi negeri-negeri lain.