Sunday, July 24, 2011

Buang Perasaan Kecil Hati

Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini tiada pilihan kecuali berusaha memperkukuhkan parti bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, setiap wakil rakyat dari parti komponen BN perlu mengikis perasaan 'kecil hati' antara mereka sebaliknya komited ke arah penyatuan di bawah BN.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri turut mengingatkan semua wakil rakyat BN khususnya UMNO agar muhasabah diri kerana pendekatan sedemikian akan menentukan 'jatuh bangun' UMNO dan BN.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama berganding bahu dengan melengkapkan perjuangan parti menerusi pelbagai program yang boleh menarik hati rakyat.

"Kita tiada pilihan, kita kena perkukuhkan parti dengan penyatuan. Kita tak mampu lagi berpecah dan kalau ada terasa hati, ketepikan. Yang penting kita perlu berdepan parti lawan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu menyatakan demikian ketika merasmikan Konvensyen BN Negeri Terengganu 2011 di Kediaman Seri Iman di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad serta barisan kepemimpinan tertinggi badan itu serta para pemimpin parti komponen BN negeri dari MCA, MIC dan Gerakan.

Ahmad berkata, setiap wakil rakyat BN perlu bersiap sedia mulai sekarang termasuk menggunakan apa sahaja cara untuk mendekati dan menyelami kehendak rakyat.

"Kita tewas bukan salah rakyat tapi kita yang tidak prihatin untuk memenangi hati rakyat," katanya.