Tuesday, October 18, 2011

Rakyat Terengganu Menderita Lagi


 Rakyat Terengganu bakal 'menderita' sekali lagi jika mereka memilih Pas sebagai parti pemerintah negeri tersebut.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, ini kerana manifesto yang dilancarkan parti itu semalam hanya bersifat populis, yang tidak mengambil kira kesan selepas pelaksanaannya.

''Terbukti apa yang dijanjikan parti itu tidak dapat dilaksanakan seperti janji kerajaan Pas di Kedah menurunkan cukai tanah, tetapi sekarang mereka sebenarnya merana akibat tindakan itu kerana cukai merupakan pendapatan kepada kerajaan negeri.

''Bagi menutup kepincangan itu, mereka mengenakan cukai yang tinggi pula kepada UUM.''Maka, sebab itu kita menjangkakan mereka tidak melakukan kajian secara terperinci ketika menyenaraikan janji-janji tersebut kerana ia sekadar memancing undi,'' katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Pas Terengganu semalam mengumumkan sebahagian manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 yang antara lain menjanjikan kakitangan awam wanita kematian suami bakal diberi cuti bergaji selama 30 hari sebagai tempoh berkabung.

Langkah pengumuman secara berperingkat itu kononnya bagi memastikan manifesto yang dibuat tidak ditiru oleh Barisan Nasional (BN).

Pensyarah Kanan Bahagian Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan pula berkata, penghapusan cukai pintu dan penyelesaian isu tanah merupakan pengulangan janji oleh Pas selepas mereka diberi mandat memerintah Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada tahun 1999.

Katanya, Pas bagaimanapun menghadapi masalah kewangan kerana mereka hanya mengharapkan wang royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan.

''Sekiranya janji yang sama dibuat oleh Pas, saya mengandaikan mereka akan menghadapi masalah kewangan yang sama.

''Penghapusan cukai bukan tindakan bijak kerana ia merupakan sumber utama kerajaan negeri. Banyak lagi cara lain yang boleh meringankan beban rakyat,'' katanya.