Wednesday, November 9, 2011

Buat Dulu Di Negeri Pakatan Rakyat

Hasrat DAP untuk mengurangkan kakitangan awam jika dipilih sebagai pemerintah negara selepas pilihan raya umum (PRU-13) nanti umpama bermimpi di siang hari.

Ketua Penerangan Umno Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, hasrat mereka itu terlalu tinggi dan mustahil untuk dilaksanakan di negara ini lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

 Menurutnya, dalam situasi sekarang terutamanya ketika rakyat berhadapan dengan isu kenaikan harga barang dan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor kerajaan, hasrat parti itu pastinya tidak akan mendapat sokongan ramai pihak.

“Jika benar mereka (DAP) boleh dan mampu melaksanakan perkara itu, maka mereka perlu melaksanakannya di negeri-negeri yang mereka perintah terlebih dahulu dan buktikannya.

“Jika tidak mampu, mereka ini (DAP) boleh diumpamakan seperti `mimpi di siang hari’ dan hanya mampu bercakap tetapi tak pandai nak melaksanakan apa yang dicakap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Qurban Perdana Dun Seberang Takir 2011 Takir di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung agenda tersembunyi DAP yang berhasrat mengurangkan jumlah penjawat awam kerana tidak selesa melihat penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang pada.

Sebelum ini, kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua dalam sebuah akhbar berbahasa Cina yang menyebut mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien bagi mengurangkan bajet kerajaan, mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta beberapa kesatuan sekerja.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, banyak lagi janji parti itu selepas PRU yang lalu masih belum tertunai walaupun telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah beberapa negeri.

“Jadi, kita tunggu dan lihat sejauh mana DAP boleh melaksanakan janji-janji mereka kepada rakyat.

“Rakyat sendiri terutamanya penduduk di negeri yang dikuasai pembangkang, sudah tentunya boleh menilai sendiri apa yang telah dilakukan itu parti itu kepada mereka,” katanya.