Kupasan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu diberikan dalam kumpulan kecil supaya lebih berkesan dan peserta berpeluang untuk bertanya dengan lebih terperinci.
Peserta Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena), Mohamad Ghani, 59, berkata, perbincangan dalam kumpulan kecil seperti forum dan penerangan di peringkat kampung nyata lebih berkesan untuk memberi pemahaman mengenai perkara itu.
“Seminar dalam kelompok besar begini bukan tidak bagus, tetapi saya rasa lebih berkesan jika diadakan dalam kumpulan kecil kerana GST adalah perkara baharu yang perlu difahami dan dikaji rakyat.
“Soalnya sekarang bukan semua peserta faham mengenai GST, bagi yang dah faham tu tidak mengapa, bagi yang belum faham itu yang perlu diberi penekanan,” katanya.
Imam Masjid Kampung Bukit Kandis, Kuala Nerus itu bagaimanapun bersetuju GST dilaksanakan berdasarkan penerangan diperoleh dalam seminar berkenaan.
“Saya berpendapat GST wajar dilaksanakan. Pada hemat saya, terdapat kumpulan tertentu menerima kesan daripada cukai ini, namun kumpulan bawahan atau syarikat kecil berpendapatan tidak sampai RM500,000 tidak terima impak. Sebab itulah saya fikir ia wajar dilaksanakan untuk kesejahteraan ekonomi kita,” katanya.
Sementara itu, peserta seminar, Rosmah Ahmad, 50, berkata, memandangkan GST adalah perkara baharu, penerangan mengenainya perlu diberikan secara berterusan.
Dia mengakui masih kabur mengenai GST dan berharap penerangan lebih jelas diberikan melalui perbincangan dalam kumpulan kecil.Semalam, seramai 500 orang menyertai
Seminar Pena peringkat negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Speaker Dun, Mohd Zubir Embong dan beberapa ahli panel.