Thursday, January 9, 2014

Hala Tuju & Gerak Kerja Penerangan UMNO Terengganu



Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menubuhkan Jawatankuasa Kerja Biro Penerangan bagi memperkasa dan melancarkan perjalanan parti Barisan Nasional (BN) dan Umno di negeri ini.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar (gambar) berkata, jawatankuasa kerja berkenaan dilihat mampu menentukan hala tuju parti terutama dalam mengekalkan kemenangan BN dan merampas kembali kawasan BN tewas samada di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen.


“Kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa yang mantap dan kuat terdiri daripada pelbagai golongan. Ada exco negeri, yang berhormat, pengerusi penerangan lapan bahagian, NGO, pemimpin masyarakat dan pihak yang condong kepada Umno/BN.

“Kita yakin jentera ini dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai agensi penerangan dengan lebih bersifat semasa, kotemporari dan berkesan,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Penerangan Umno Terengganu, semalam.

Menurut beliau, jawatankuasa kerja di bawah Biro Penerangan itu berperanan dalam menyatakan perancangan parti dan kerajaan samada diperingkat pusat atau negeri terutamanya mengenai kebaikan dan faedah pemerintahan BN kepada rakyat dan negara.

“Disamping itu, kita juga akan menjelaskan isu-isu semasa samada isu itu pro kerajaan atau isu yang menentang kerajaan.

“Isu-isu yang baik kita timbulkan dari semasa ke semasa supaya rakyat faham akan faedah menyokong kerajaan kita.

“Manakala, kita akan menangkis dan balas balik isu-isu yang cuba memperlekehkan usaha-usaha murni oleh parti dan juga pemerintah,” katanya.

Katanya, terdapat sebelas jawatankuasa di bawah JawatanKuasa Kerja Biro Penerangan iaitu jawatankuasa pengurusan; risikan, geraksaraf dan propaganda; latihan dan pengkaderan penceramah; penceramah dan pemidato; jabatan agensi kerajaan dan swasta; belia dan NGO; Pemuda; Wanita; Puteri; Veteran dan Mubarak dan penerbitan media massa dan siber.