Wednesday, May 21, 2014

Akur Siapa Dilantik Sebagai Ketua BPUNT

Ahmad Razif juga akur dengan keputusan pucuk pimpinan Umno untuk melantik sesiapa sahaja sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu selepas ini.

Katanya, sebagai ahli parti Umno, beliau yakin dengan kebijaksanaan Presiden parti, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak untuk menentukan pengerusi badan itu di peringkat negeri.

“ Kita sebagai ahli parti yang setia, kita tiada masalah dan memulangkan keputusan itu secara bijaksana yang akan diputuskan oleh presiden parti dan saya tidak ada masalah dan kita seperti yang disebut tadi bukan ketua yang menjadi perkara mustahak bagi kita, yang lebih mustahak adalah bersama.

“Tiada masalah, andai kata melatik sesiapa sahaja menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, hatta YB Rozi sendiri pun, maka kita akan bekerja bersama. Jadi ini kita perlukan perpaduan dalam saat-saat yang sebegini. Lebih-lebih lagi Terengganu sekarang ini sebagaimana kita sedia maklum dalam keadaan 17-15 dan komitmen saya kepada YAB Presiden adalah memastikan Pilihanraya Umum Ke-14 ini akan lebih baik daripada yang sebelum ini,” katanya

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa calon yang sesuai mengisi jawatan itu, adalah menteri besar bagi negeri berkenaan supaya pentadbiran negeri dan kerja parti berjalan lancar.

Kenyataan itu susulan laporan sebuah kolum di akhbar tempatan semalam yang menyebut, Ahmad Shabery menjadi calon sesuai mengisi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, yang kosong ekoran peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said minggu lepas.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata menjadi kelaziman menteri besar juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.