Tuesday, May 20, 2014

Memikul Amanah Rakyat

“Saya menerima amanah yang diberikan dan janji saya pada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak akan melaksanakan pembangunan di Terengganu dengan sebaik-baiknya dan memastikan hak rakyat tidak akan terabai,” demikian kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau juga mengharapkan, tidak ada lagi usaha-usaha provokasi yang boleh menjejas kedamaian dan keharmonian yang dikecapi pada masa kini.

“Marilah kita sama-sama berganding bahu dan membantu kepimpinan kerajaan sedia ada kerana apa yang dilakukan semuanya adalah untuk rakyat,” ujarnya.

Katanya, amanah sebagai Menteri Besar baharu memerlukan beliau membuat penilaian dan melakukan sesuatu dengan lebih baik dan tidak dibayangi pemimpin terdahulu.

“Sebagai permulaan, gerak kerja yang akan saya laksanakan adalah menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Kita akan dapatkan permasalahan yang dihadapi rakyat dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang banyak membantu bagi memastikan keadaan politik Terengganu kembali tenang.