Tuesday, May 20, 2014

EXCO Bertugas Seperti Biasa

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman kekal menjalankan tugas dari portfolio Menteri Besar terdahulu dan memangku tugas exco yang disandangnya sebelum ini.

Portfolio Menteri Besar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Alam Sekitar.

Manakala tugas exco terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air yang disandang beliau sebelum dilantik sebagai Menteri Besar sejak 14 Mei lalu.

“Sekarang ini saya memangku dahulu tugas pengerusi jawatankuasa (exco) bawah menteri besar yang ada dan ditambah lagi exco yang saya pegang sebelum ini, jadi saya pangku kedua-duanyalah. Sementara sebelum kita putuskan apakah keputusan yang terbaik,” katanya di sidang media sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Terengganu 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong dan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin.

Ketika ditanya kemungkinan ada perubahan dan pertambahan exco baharu kerajaan negeri, Ahmad Razif menegaskan semua exco sedia ada akan bergerak seperti biasa dan kekal dengan jawatan masing-masing.

“Exco yang satu lagi (Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air) belum kita putuskan dan itu bergantung kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia, Tuanku (Sultan Mizan Zainal Abidin),” katanya.