Wednesday, August 20, 2014

Idea Tiga Mantan MB Diguna pakai

Gandingan kekuatan dan pengalaman tiga bekas Menteri Besar terdahulu digunapakai dalam menambahbaik dan meneruskan agenda pembangunan negeri yang berkonsepkan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) pada masa kini, kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Seminar Transformasi Terengganu Baharu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Bekas Menteri Besar Terengganu yang lalu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (1974-1999), Dato’ Sri Idris Jusoh (2004-2008) dan Dato’ Sri Ahmad Said (2009-2014).

“Sebahagian idea yang kita cetuskan pada hari ini pada asasnya kita ambil dari idea lama, yang mana belum selesai kita akan kita selesaikan. Itu konsep TTB yang kita perkenalkan, kerana kita tiada masa lagi untuk melaksanakan sesuatu (kesemuanya) yang baharu.

“Malah, bagi Terengganu mencapai Negeri Maju (2020), hanya ada lebih kurang enam tahun sahaja lagi, jadi kita tiada masa dan saya perlu menggunakan kekuatan ketiga-tiga tokoh ini. Sudah pasti tokoh ini akan menjadi penasihat utama kepada saya,” katanya.

Ahmad Razif berkata, ketiga-tiga bekas menteri besar itu memberi respon positif dan saling berkongsi idea serta buah fikiran.

Malah, mereka turut gembira apabila kepimpinan hari ini masih menggunapakai konsep-konsep pentadbiran lalu.
Beliau juga mengakui turut menghubungi pemimpin terdahulu menerusi telefon bagi bertanya pandangan khususnya dalam aspek meneruskan legasi pembangunan.

“Mungkin sampai satu masa nanti, ketiga-tiga mereka akan berada di satu pentas dalam forum, sebagaiman program kita hari ini dan saya mungkin bertindak sebagai moderator. Tiada masalah untuk melaksanakannya,” katanya.

Selain itu, beliau juga akan merealisasikan usaha pembangunan pada masa kini, sebagaimana yang difokuskan oleh Tan Sri Wan Mokhtar sepanjang pemerintahannya, selain tumpuan bidang pendidikan yang merangkumi Sekolah Elit dan Primier, Imtiaz dan Taman Ilmu oleh Idris yang akan ditambah baik untuk menjadikannya sebagai kekuatan modal insan di negeri ini.

Manakala, perancangan strategik Ahmad yang menumpukan sektor pelancongan seperti Pembangunan Tasik Kenyir, Bandaraya Warisan Pesisir Air merangkumi Pasar Payang, Muara Utara dan Selatan Sungai Terengganu juga akan diteruskan.