Sunday, January 11, 2015

Misi Kemanusiaan Terenganu Berjaya meringan Beban Rakyat Kelantan


Walaupun Terengganu mempunyai nasib yang sama seperti negeri-negeri jiran, Skuad Sukarelawan TTB turut turun padang membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan ini merupakan satu sikap yang boleh dibanggakan apabila ramai yang turun membantu membersihkan kawasan terjejas dengan banjir.
“Saya merasa bangga kerana sukarelawan yang ada membantu kita hari ini tidak kurang dari 1,500 orang dengan kenderaan tidak kurang dari 100 buah.

“Dengan bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan Pangkal Mak Wan, Machang, hari ini.


Ahmad Razif berkata beliau juga akan turut membantu berkongsi prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi banjir.

“Kita akan berkongsi SOP yang ada dengan negeri Kelantan dan negeri-negeri lain kerana inilah khidmat yang boleh kita bantu.

“Dengan sedikit sebanyak pengalaman yang kita alami secara bersama ini, kita akan perkasakan SOP dalam menangani permasalahan banjir dan secara tidak langsung dapat menyelamatkan lebih banyak kerugian di masa akan datang,” katanya.

Berkenaan banjir yang kini kembali di daerah Kemaman dan Dungun, beliau berkata pihak kerajaan masih dalam keadaan bersedia.

“Ķita masih lagi buat persediaan dalam menghadapi banjir.

“Bekalan-bekalan makanan di pangkalan hadapan sentiasa kita pastikan cukup jika kembalinya fenomena ini,” katanya lagi.