Thursday, January 8, 2015

Terengganu Hantar Sukarelawan Untuk Bantu Kelantan

Misi kemanusiaan di Kelantan anjuran Kerajaan Terengganu mendapat sambutan luar biasa apabila penyertaan sukarelawan meningkat kepada 1,500 orang berbanding 1,000 orang yang diuar-uarkan sebelum ini, dari pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan yang menaiki hampir 100 buah kenderaan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, misi itu berjaya mewujudkan muafakat di kalangan peserta untuk menjadi anggota sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

“Kita dapat lihat hari ini apabila semua pihak dari badan bukan kerajaan, badan swasta, kontraktor-kontraktor sama-sama bermuafakat dalam memberi sumbangan seperti menyediakan pengangkutan bas dan jentera-jentera berat secara percuma.
 “Semalam kita telah menghantar 60 tan kayu dan peralatan untuk pembinaan yang diterima ke Dabong, Kuala Krai bagi pembinaan rumah sementara di sana untuk mangsa-mangsa banjir,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelepasan Skuad Sukarelawan TTB ke Kelantan di perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan; Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Mohamad Kamil Othman,

Ahmad Razif berkata, pihaknya akan menjayakan hasrat untuk membangunkan beberapa unit rumah transit kepada mangsa sepanjang dua hari berkampung di Dabong nanti.

“Sebanyak 21 buah rumah transit akan dibina di Dabong untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir yang telah mengalami kemusnahan kediaman mereka.

“Seramai 100 orang tukang rumah disediakan untuk menyiapkan rumah transit tersebut yang boleh siap dalam tempoh tiga hari dan pagi tadi seramai 40 orang telah bertolak ke sana termasuk tiga daripadanya penyelia projek,” katanya.

Tambahnya, melalui misi tersebut, beliau dapat melihat persefahaman yang tinggi di kalangan rakyat Terengganu kerana saling bergandingan untuk menyalurkan bantuan sama ada dari aspek tenaga mahupun sumbangan barangan keperluan serta wang ringgit.

“Walaupun kita sendiri mendapat ujian bencana yang agak teruk, tetapi di sebalik itu kita dapat melihat ada persepakatan dan persefahaman yang tinggi di kalangan rakyat Terengganu dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang lebih teruk terjejas seperti apa yang berlaku di Kelantan,” katanya.