Saturday, February 20, 2016

UMNO MNEGHADAPI FITNAH TERANCANG


UMNO perlu cekap menyampaikan maklumat supaya jasa serta kebaikan dilakukan untuk rakyat tidak terselindung, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya mentadbir dengan baik serta melakukan pelbagai kemajuan, tetapi ia bagaikan tenggelam kerana fitnah terancang serta tersusun oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“UMNO perlu bekerja. Kenapa kita hendak sembunyikan beratus kebaikan yang telah UMNO lakukan. Perlu beritahu, uar-uarkan, jelaskan.

“Rakyat di luar sana adalah rakyat yang bijak. Mereka hendak mendengar tetapi kalau kita tidak memberi maklumat yang cukup, kita tidak boleh salahkan rakyat, kena salahkan kita,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua-Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan Sayap di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Terengganu, semalam.

Ditanya bagaimana barisan penerangan UMNO akan mengatasi masalah penyampaian maklumat tersebut, Annuar berkata, penyebaran maklumat adalah sesuatu yang dinamik, bergantung kepada perubahan masa.

“Kini teknologi telah meluas dan orang ramai mula bercakap dengan ‘satu jari’ (maklumat di hujung jari). Momentum telah berlainan, jadi kita (UMNO) kena buat penilaian bahawa mungkin kita lambat membuat perubahan. Kita lambat nak memanfaatkan penggunaan teknologi dan media baharu.



“Sebab itu kita mesti membuat pembetulan. Ada perancangan yang telah dan sedang dibuat tetapi ia tidak cukup dan ia perlu diperbaiki lagi,” katanya.

Selain penggunaan teknologi, katanya beliau masih menitikberatkan kaedah permuafakatan dalan kalangan anggota dan kepimpinan serta mengambil pendekatan positif terhadap setiap kritikan.

Katanya kritikan bagaikan ‘wake-up call’ untuk terus bekerja dan memberi penerangan dengan lebih baik.

“UMNO boleh perbaiki prestasi untuk meyakinkan rakyat walau apa jua tohmahan. Apa yang dikhuatirkan ialah kebaikan kita terlindung kerana ketidakcekapan kita menyampaikan maklumat.

“Maka kita tidak boleh ambil mudah, kena terima bahawa cabaran telah berubah dan di luar sana keadaan telah berubah,” katanya.

Annuar yang juga Pengerusi MARA berkata pembangkang kerap mengambil satu contoh kecil untuk memburukkan ribuan kebaikan kerajaan demi agenda politik mereka.


“Parti Keadilan Rakyat ambil seorang budak yang tidak memperoleh biasiswa di Universiti Kuala Lumpur, buat video budak ini, viralkan dan kemudian orang ramai anggap MARA sudah membekukan biasiswa.

“Maka orang marah kerana anggap MARA sudah hilang duit kerana membeli hartanah di Australia. Ia hanya persepsi, hanya kerana seorang dan mereka terlupa bahawa sebenarnya MARA telah menaja 75,000 pelajar Bumiputera dengan perbelanjaan RM2 bilion setahun,” katanya.