Sunday, April 3, 2016

Akar Umbi UMNO Bertunjang Di Stadium Tertutup.



Seluruh kepemimpinan UMNO Terengganu yang diterajui Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengisytiharkan 'perang' terhadap musuh dari dalam dan luar bagi memastikan parti tonggak Barisan Nasional (BN) itu terus teguh memerintah negeri itu.


Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Ahmad Razif berkata, dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan, beliau bersama seluruh pemimpin dan ahli UMNO peringkat akar umbi akan memastikan kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga Menteri Besar turut yakin, semangat pemuafakatan dan solidariti dalam kalangan seluruh kepemimpinan UMNO serta sayap parti, BN Terengganu mampu meraih menawan kesemua kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

“Tidak mustahil kita dapat cipta sejarah dengan menang 32 kerusi (Dewan Undangan Negeri) dan lapan kerusi (Parlimen) dalam PRU-14. Saya diberi tanggungjawab untuk beri hadiah kemenangan BN kepada Perdana Menteri.

“Terengganu tiada masalah, seluruh kepemimpinan menunjukkan solidariti dan permuafakatan yang baik dalam menuju kemenangan pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap di hadapan lebih 4,000 ahli UMNO dalam majlis Perjumpaan Khas Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman Bersama Kepemimpinan Akar Umbi UMNO Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir barisan kepemimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri, ketua-ketua bahagian, cawangan serta sayap parti seluruh Terengganu selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas yang juga Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang diundang khas.

Ahmad Razif berkata, 2016 merupakan tahun peperangan bagi UMNO negeri ini dengan hari ini bermulanya gerak kerja bagi semua jentera parti melancarkan perang bagi menghadapi pilihan raya umum.

“Hari ini kita mula mengumpul semua kepemimpinan untuk bersiap siaga dalam mendepani PRU-14 yang dijangka paling sengit. Pe­perangan yang kita hadapi sekarang amat mencabar,” katanya.

Beliau turut menggesa semua bahagian dan cawangan UMNO agar turun padang untuk menyiapkan serta mengukuhkan jentera parti dan jika segalanya dalam keadaan bersiap sedia, BN akan memenangi PRU akan datang dengan mudah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, beliau turut mengakui bedah siasat telah dilakukan di kawasan yang dimenangi pembangkang berikutan ramai ahli UMNO didapati yang tidak keluar mengundi pada PRU-13 lalu.

Katanya, bagi kawasan Kuala Nerus sahaja, lebih 7,000 ahli parti itu dikenal pasti tidak keluar mengundi sehingga membawa kekalahan BN kepada pembangkang.

“Berkaitan hal ini, kita akan buat pemutihan dan perlu gerakkan jentera parti sambil menghulurkan bantuan dan motivasi untuk memastikan kita (BN) menang dalam pilihan raya umum nanti,” katanya.