Sunday, June 24, 2012

Beri mandat kepada BN – Dato' Ku


Rakyat Terengganu, khususnya mereka yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) diminta memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan Umno dan BN terus kekal memerintah negeri dan memperkasakan pentabdiran kerajaan.

“Setiap orang perlu membuka hati mereka, pakat dengan keluarga, saudara mara dan jiran tetangga. Katakan pada diri masing-masing bahawa inilah kerajaan (BN) yang kita semua mahu memerintah negeri Terengganu,” kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau berkata, sejarah dan rekod pentadbiran negeri Terengganu telah membuktikan bahawa dalam tempoh lebih empat tahun lalu (selepas PRU 12), Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui Umno dan BN telah melakukan 300 peratus daripada apa yang patut dilakukan kerajaan yang memerintah.

“Setiap tahun Kerajaan BN telah membawa perubahan dan pembaharuan kepada rakyat dan negeri ini.

“Dari segi kebajikan, kita telah menyediakan segala kemudahan yang diperlukan oleh rakyat, bermula dari tempat tinggal (kediaman) yang lebih selesa, bantuan kebajikan, pakaian sekolah anak-anak dan bantuan bagi pesakit kronik,” katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Teganukita.

Beliau berkata, di segi kemudahan pendidikan kerajaan negeri menghulurkan pelbagai bantuan dan menyediakan kemudahan pembelajaran kepada pelajar hinggakan Terengganu mencatat kejayaan luar biasa dalam peperiksaan awam.

“Di bidang sukan pula, semua kemudahan untuk atlet tempatan disediakan dan kini kita menjadi kuasa baru sukan negara,” kata Dato’ Tengku Putera yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Bahkan, tambah beliau, Kerajaan BN turut memajukan kawasan pedalaman dengan penyediaan rumah kedai dan pelbagai bentuk rumah kediaman untuk rakyat, yang bakal menjadi pemangkin pembangunan di kawasan tersebut.

“Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebagai ketua kerajaan pula, mengamalkan konsep pentadbiran yang mudah di mana beliau dan seluruh saf kepimpinan negeri mudah didekati oleh rakyat.

“Beliau turut mengarahkan ketua-ketua jabatan dan pentadbir awam mempermudahkan semua urusan dengan rakyat, tanpa protokol dan kerenah birokasi bagi membolehkan setiap program dan projek yang dirancang untuk rakyat, berjalan dengan lancar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pengundi di negeri ini tidak perlu was-was dan berfikir panjang lagi untuk memilih calon-calon BN pada PRU 13 kerana mereka sangat sesuai bagi mengisi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

“Umno Terenganu dan BN akan mengemukakan calon-calon yang terbaik dan mampu memenuhi tanggungjawab bagi membela nasib rakyat negeri ini.

“Saya yakin dengan ketokohan dan kehebatan Perdana Menteri (Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak) membawa transformasi negara dan Terengganu akan mendapat rahmat daripada kepimpinan beliau,” katanya.

Justeru itu, katanya, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan sebarang janji yang ditabur parti pembangkang, khususnya Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya pandai bermain dengan kata-kata bagi memancing undi.