Friday, June 22, 2012

PM Puji Terengganu

Datuk Seri Najib Tun Razak bangga dengan komitmen kerajaan Terengganu yang menyediakan pelbagai insentif kepada usahawan anak negeri itu.

Menurut Perdana Menteri, melalui pelbagai pendekatan yang dilakukan telah membantu memesatkan perkembangan IKS dan berharap ia diteruskan bagi merancakkan ekonomi negeri dan negara.

Katanya, usaha murni itu turut dijayakan dengan kerjasama SME Bank yang merupakan institusi kewangan sangat penting dalam membangunkan golongan usahawan itu.

"Terengganu sebuah negeri yang mempunyai banyak kemahiran kreatif dan saya berharap melalui pelbagai sokongan dan bantuan daripada kerajaan negeri beri dan salurkan, usahawan-usahawan ini dapat berjaya dalam perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang video selama lima minit bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di hadapan kira-kira 2,000 usahawan negeri Terengganu yang hadir pada Himpunan Usahawan Terengganu 2012 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Sidang video itu diadakan ketika lintas langsung Perasmian Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana Peringkat Nasional yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Ahmad ketika berlintas langsung berkata, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai agensi dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada usahawan-usahawan di negeri itu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Katanya, sejak tahun lalu, YPU mengeluarkan RM13.166 juta di bawah Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu (T'Fund) kepada 1,795 usahawan di negeri ini manakala sehingga Mei lalu, sebanyak RM268,5000 pinjaman telah disalurkan.

"Selain YPU, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga telah mengeluarkan sebanyak RM440 juta kepada 5,435 usahawan manakala sehingga Mei ini RM20.8 juta dibelanjakan melibatkan seramai 673 usahawan dan peniaga.

"Usahawan kita juga menerima bantuan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) serta lain-lain agensi," katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera.

Sementara itu, mengulas perkara sama pada sidang akhbar, Ahmad mahu usahawan-usahawan di negeri ini menggunakan sebaik-baiknya pinjaman yang diberikan untuk keperluan perniagaan bagi melahirkan lebih ramai yang berjaya.

Ketika ditanya berkenaan peratus peminjam yang gagal membayar semula pinjaman mereka, Ahmad memaklumkan negeri Terengganu mempunyai rekod yang baik dalam pembayaran semula pinjaman.