Penerangan Umno Terengganu menyokong dan mempertahankan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harrussani Zakaria bahawa langkah mengadakan perhimpunan hendak mengguling kerajaan pada malam sambutan ambang 2014 di Dataran Merdeka sebagai golongan bughah (penderhaka).
Ketua Penerangannya, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar berkata, apa yang disuarakan oleh Mufti Perak itu betul dalam konteks perbuatan menderhaka kepada pemerintah.
Bughah membawa pengertian segolongan ummat Islam yang melawan dan menderhaka kepada pemerintah [ imam / ulil amri ] sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al Quran dan Sunnah.
Tan Sri Harussani Zakaria mempertahankan kenyataannya menggelar peserta perhimpunan pada malam sambutan ambang 2014 di Dataran Merdeka sebagai golongan bughah (penderhaka) yang halal darah mereka sesuai dengan apa yang terkandung dalam ajaran Al Quran.
Mufti Perak itu berkata, kenyataan asal beliau adalah berdasarkan demonstrasi yang berhasrat untuk menggulingkan kerajaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi nama “guling kerajaan” telah ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai dan diganti dengan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).
“Bughah atau darah halal disebut dalam konteks membahayakan nyawa orang lain dan niat mereka mahu menggulingkan kerajaan.
Mereka kata mereka benar tetapi cara mereka salah. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan juga bom buatan sendiri".
“Saya kaitkan dengan firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud: Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah),” katanya seperti dilaporkan akhbar arus perdana.
Senator Datuk Abdul Rahman Bakar hairan mengapapemimpin PAS menolak Bughah yang sebenarnya terdapat dalam hukum Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Dr Khairudin Aman Razali baru-baru ini berkata, kenyataan Harussani itu sangat jahil mengkategorikan peserta perhimpunan sebagai pemberontak malah lebih malang dan merbahaya apabila darah peserta pula diisytiharkan sebagai halal.
Datuk Haji Abdul Rahman meminta hukuman setimpal kepada mereka yangdidapati bersalah melakukan huru-hara dan kemusnahan kepada negara derhaka kepada Sultan,Yang DiPertuan Agongdan kerajaan yang dipilih secara sah.
Datuk Abdul Rahman berkata demikian kepada wartawan petang ini selepas.mempengerusikanmesyuarat pertama penerangan Umno Negeri Terengganu petang semalam (7 Januari 2014).